

calendar
| << April 2008 >> | ||||||
| Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
| 01 | 02 | 03 | 04 | 05 | ||
| 06 | 07 | 08 | 09 | 10 | 11 | 12 |
| 13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 | 19 |
| 20 | 21 | 22 | 23 | 24 | 25 | 26 |
| 27 | 28 | 29 | 30 | |||
categories

contact
cReditS

Pengarang : Andrea Hirata
Halaman : 219
Tahun : 2007
Terbitan : PTS Litera Utama Sdn Bhd (versi terjemahan)
Harga : RM 26.00
Blurb:
Sang Pemimpi adalah lantunan kisah kehidupan yang cukup mempesona dan nescaya akan berjaya membuat anda percaya tentang tenaga cinta, tentang kekuatan mimpi dan pengorbanan. Malah lebih dari itu akan membuat anda percaya kepada kekuasaan Tuhan. Andrea akan membawa anda berkelana dan menerobos sudut-sudut pemikiran hingga menemukan pandangan yang berbeza tentang nasib, tentang intelektual, kegembiraan yang meluap-luap, sekaligus kesedihan yang mengharu-biru.
Andrea membawa anda mengembara pada kisah anak-anak Belitong yang cuba memperoleh pendidikan dengan pelbagai cabaran kehidupan yang cukup menyedihkan. Dimulai dengan kenakalan remaja yang kelihatan biasa, namun tanpa anda sedari, lambat laun watak-watak itu akan menguasai anda, membawa diri anda turut hanyut dalam gelombang hidup yang mencengkam mereka.
Ada pasti tersenyum dengan humor-humor yang bersahaja namun tersirat di dalamnya falsafah yang cukup rasional, erti perjuangan hidup dalam kemiskinan yang begitu membelit dan cita-cita yang cukup gagah yang di dukung oleh dua watak utama buku ini, Arai dan Ikal. Buku ini akan membuatkan anda merenung ke dalam diri sendiri dengan penuh pengharapan, menolak semua rasa putus asa dan tidak berdaya.
"Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati…"
"Kita tidak akan mendahului nasib!!!"
"Kita lakukan yang terbaik di sini!! Dan kita akan berkelana menjelajah Eropah sampai ke Afrika!! Kita akan belajar di Perancis !!... Apapun yang terjadi!!!"
* * * * * *
Sang Pemimpi adalah buku kedua siri Tetralogi Laskar Pelangi. Lanjutan pada kisah Ikal, Arai & Jimbron dalam Laskar Pelangi. Kisah 3 anak muda yang berjuang untuk memperbaiki taraf hidup mereka dalam keadaan yang serba kekurangan. Namun sedikit pun tidak mematahkan semangat juang mereka. Bahkan mereka sanggup lakukan apa sahaja pekerjaan demi mengisi 'tabung' untuk mereka mengejar mimpi untuk menakluk Eropah hingga ke Afrika.
Sang Pemimpi sinonim pada Ikal, Arai & Jimbron yang sanggup bermimpi walaupun mimpi mereka bagaikan 'mimpi di siang hari' tapi bagi mereka "Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati..." begitulah kuatnya kuasa mimpi yang menjadi pegangan mereka. Dan tak salah kita menjadi sang pemimpi andai mampu menjadi tunjang utama buat kita mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup.

Pengarang : Andrea Hirata
Halaman : 254
Tahun : 2007
Terbitan : PTS Litera Utama Sdn Bhd (versi terjemahan)
Harga : RM 26.00
Blurb:
Kisah anak muda yang ingin mendaki puncak cabaran, menerjang batu granit kesulitan, menggoda marabahaya, dan memecahkan misteri dengan sains. Dia ingin menghirup pelbagai pengalaman lalu terjun bebas menyelami Labyrinth liku-liku hidup yang hujungnya tak dapat disangka.
Dia dambakan kehidupan dengan kemungkinan-kemungkinan yang bertentangan antara satu sama lain seperti perlanggaran molekul-molekul uranium: meletup tak terduga, menyerap, mengikat, berganda, berkembang, terurai dan berserakan ke arah yang tak terduga.
Dia ingin ke tempat-tempat yang jauh, menemui beragam-ragam bahasa dan berbagai-bagai bangsa. Mengembara, dan menemukan arah dengan membaca bintang-bintang di langit. Mengharungi padang dan gurun-gurun, melepuh dibakar matahari, terolang-aling dihentam angin, dan menciut dicengkam dingin. Impikan kehidupan yang menggetar dan penuh penaklukan.
Aku ingin hidup! Ingin merasakan sari pati hidup!!
* * * * * *
Edensor: sebuah gambaran dalam desa khayalan, novel ketiga selepas Sang Pemimpi. Kesinambungan dari kisah Sang Pemimpi yang menjadi inti pati pada perjuangan Arai & Ikal dalam merealisikan mimpi mereka untuk menakluk Eropah dan Afrika.
Edensor kisah tentang dua orang anak muda Belitong - Arai & Ikal - yang diterima melanjutkan pelajaran atas tajaan biasiswa. Mereka berjaya menjadi penuntut Universite de Paris, Sorbonne, Perancis dan menjadi titik tolak mereka menggapai mimpi yang disematkan di dada sepanjang tempuh mereka menjadi 'dewasa'.
Secara jujurnya peluang aku bertemu muka dan mendengar Andrea Hirata 'bercerita' secara 'Live' di satu majlis yang dianjurkan oleh PTS sempena Pesta Buku 2008 yang lalu memberi impak yang besar pada aku.
Membaca kedua-dua karya ini - Sang Pemimpi & Edensor - aku seumpama diberi gambaran yang jelas akan watak dan peribadi penulisnya. Aku seumpama 'melihat' Andrea Hirata bercerita secara terus pada aku, begitu dekat di jiwaku. Sungguh menarik dan menakjubkan.
Karya yang sarat dengan teladan dan pengajaran. Karya yang sarat dengan falsafah hidup yang sederhana tetapi unik. Karya yang sarat dengan semangat dan inspirasi. Karya yang sarat dengan nilai kemanusiaan yang tinggi, yang menjadi pendukung pada kekuatan diri dan keberanian Arai & Ikal - 2 watak utamanya.
Membaca karya ini aku terpukau dengan keberanian Arai & Ikal dalam mengejar mimpi. Aku terpesona dengan bahasanya yang indah dan kosa katanya yang pelbagai. Usai membaca, aku jadi tak sabar untuk menantikan naskhah terakhir dalam siri Tetralogi Laskar Pelangi ini iaitu Maryamah Karpov.
" tertawalah, seisi dunia akan tertawa bersamamu; jangan bersedih kerana kau hanya akan bersedih sendirian" ~ Pelajaran moral no 14; tentang falsafah kebahagiaan edisi Ikal ~edensor : ms 202~
Bacalah ketiga-tiga siri Tetralogi Laskar Pelangi ini dan aku yakin anda tidak akan menyesal membacanya. Bahkan aku yakin anda akan menemui satu keajaiban dalam dunia penulisan sastera moden.

Pengarang : Nurul Syahida
Halaman : 351
Tahun : 2008
Terbitan : Buku Prima Sdn Bhd
Harga : RM16.90
Blurb:
Aku tidak mahu menjadi sebahagian daripada mereka yang hanya berpuas hati dengan kesederhanaan. Aku ingin menjadikan hidup aku lebih dari itu.
Maksud saya, kawan-kawan Ana terdiri daripada gadis-gadis yang… macam Ana. Tapi awak tak macam dia. Tak ada beg jenama LV atau bersolek MAC atau berbau minyak wangi Carolina Herrera. You're like a Plain Jane berbanding mereka semua.
Kau gila Kis? Esok ada lima kelas! Tak penat ke? Hati aku menjerit. Tapi kenapa nak dengar kata hati? Baik dengar kata Zaniel. Zaniel sepuluh kali lebih kacak dari hati aku.
Kadang-kadang kita perlukan drama untuk menambahkan rencah dalam cerita yang bakal kita ulang kepada anak cucu. Khir adalah 'bunjut dalam sup' hidup aku ini, ia menambah rasa, namun bukan untuk ditelan!
Awak ikut protokol dan awak rasa memberitahu saya yang awak cintakan saya dan mendapat pengesahan yang saya cintakan awak adalah cara bercinta yang ideal. Kadang-kadang kita tak perlu menyebut 'Saya Cintakan Awak' untuk memberitahu seseorang yang memang kita cintakan dia. Cukup hanya dengan menunjukkannya, mengambil tahu, memahami.
Aku tidak perlukan fantasi itu. Semudah itu untuk menjadi diriku.
* * * * * *
Plain Jane kisah tentang Siti Nurbalkis Bt Sulaiman, Pelajar Jurusan Psikologi di universiti tempatan. Kisah tentang seorang gadis yang ~kalau boleh dikatakan~ mengalami 'krisis identiti', yang hidup dalam 'dunia' yang biasa-biasa ~pada pandangan mata Ana & 'wannabes group'~ tetapi mula mengalami perubahan yang dia sendiri tidak sedar atau buat-buat tak sedar setelah berkenalan dengan Zaniel seorang 'businessman' yang berjaya. Zaniel yang 'somebody', yang semua orang ingin mendampinginya.
Segala-galanya nampak sempurna pada pandangan Balkis. Namun tanpa dia sedari dia mula kehilangan sahabat baiknya Tengku Aklilee aka Lilee bahkan dia mula bersikap 'biadab' terhadap ahli keluarganya. Semuanya gara-gara Zaniel yang dicintainya. Dia sanggup berubah daripada seorang 'ugly duckling' kepada 'beauty swan' semata-mata untuk memenuhi kehendak Zaniel, 'Mr Darcy'nya.
Bagaimana kesudahan nasib Balkis, jawapannya ada dalam novel ini.
Apa yang aku suka tentang buku ini adalah gaya penulisan penulisnya. Kalau nak dirujuk pada 'isi'nya, Plain Jane ini biasa-biasa saja persoalannya. Iaitu kisah cinta si gadis di alam remaja/belia. Tapi cara Nurul Syahida menggarap cerita ini amat menarik pada aku. Dari interpretasi watak Balkis yang 'Plain' hinggalah pada falsafah hidupnya yang bersahaja namun jelas unik dan menarik. Dari seorang gadis yang terlalu sensitif pada BMI (Indeks Purata Badan) hinggalah pada sensitiviti ejaan namanya antara Q dan K.
Walaupun persoalan yang 'biasa' sahaja, tapi Nurul Syahida telah berjaya mengikat aku hingga ke noktah terakhir. Sangat menarik dan sesuai untuk bacaan santai kerana ketebalannya mampu membuatkan aku dapat menghabiskannya dalam masa satu hari.
Menarik..!! (itulah ayat aku untuk kali ini) cubalah baca.

Pengarang : Puteri Andalas
Halaman : 741
Tahun : 2008
Terbitan : Kaki Novel
Harga : RM24.00
Blurb:
"Seumpama bayang-bayangku sendiri… ingatan kepadamu kasih… tetap mengekori ke mana sahaja aku pergi"
Luahan Sharina…
" Aku mencintai Asnawi…
Bagaikan aku memiliki pelangi
Tanpa aku sedari
Pelangi mengundang tsunami di hati
Mengenali Reshidi
Rasa kasih menjelma kembali
Digagahi hati… cuba menafi
Kerana Reshidi masih beristeri
Onak melilit hidupku
Duri merodok hatiku
Namun kerana kejora hati
'Atim' amanah ilahi
Aku bangun menggagahi diri
Tekad di hati
Cahaya akan kuburu dan kucari
Bukan lagi pelangi atau tsunami…"
Berjayakah Sharina ?
* * * * *
Cinta Seindah Madah, satu lagi karya terbitan Kaki Novel hasil tulisan penulis yang berpengalaman Puteri Andalas. Novel kedua bersama Kaki Novel ini memperlihatkan kematangan kak Puteri dalam menggarap cerita dan bermain kata.
Kisah tentang Sharina yang telah di'buta'kan oleh cinta Asnawi - yang dikenali tatkala keluarganya bercuti di Tasik Country Villas, Serdang - nekad menurut kata hati, berkahwin dengan Asnawi walaupun mendapat tentangan dari kedua-dua orang tuanya. Sementelah dia baru mendapat keputusan peperiksaan dan teman-teman seperjuangan sedang sibuk mengisi borang ke IPTA. Sharina rela melupakan hasratnya untuk menyambung pelajaran di universiti tempatan.
Dengan janji untuk menyambung pelajaran di US di samping Asnawi di sisi, walaupun berat hati, Long Mat Shah & Long Shaaba terpaksa melepaskan anak tersayang. Kemahuan anak tersayang diturutkan jua dengan hati yang berat dan berbelah bahagi.
Pelangi yang dikejar namun tsunami yang mendatang, memaksa Sharina pulang ke tanahair tanpa segulung Ijazah yang dijanjikan tetapi "Atim" yang dibawa pulang. Dengan semangat dan azam untuk melupakan sejarah semalam yang sepahit hempedu, Sharina bangkit. Walaupun tidak berjaya menyandang gelaran Doktor, namun 'Misi' Sharina sudah memadai setelah apa yang berlaku pada dirinya.
Cabaran sebagai ibu tunggal penuh dugaan. Bersama si anak yang keletah, si kecil yang petah bersuara, yang sering mengundang ceria membuatkan Sharina tegar berusaha. Perkenalan si Atim dengan Lan, rakan seusia di satu rancangan 'talk show sempena Raya' membuatkan hidup Sharina mula berubah. Komplot kedua-dua orang tuanya bersama kak Rahimah untuk menemukan 'jodoh' Sharina dengan Dr Taufik menambahkan lagi kemelut di hati Sharina.
Perkenalan tanpa sengaja dengan Reshidi - bapa si Lan yang polos - di satu acara sukaneka sekolah, ditakdir pula mereka menetap di kejiranan yang sama dan anak-anak berkongsi taman permainan yang satu, membuatkan hidup Sharina bertambah berselirat.
Pelbagai badai yang mendatang, pelbagai masalah yang dihadapi, berjayakah Sharina menghadapi setiap kemelut yang melanda diri? Semua jawapannya ada dalam novel ini.
Apa yang aku rasa?? aku suka dengan cerita kak Puteri kali ini. Sebuah kisah kekeluargaan yang memperlihatkan kematangan beliau dalam menggarap cerita dan bermain dengan emosi pembaca. Aku suka dengan watak Atim & Lan... sungguh 'hidup'. Aku tidak hairan kalau ada yang akan menjadikan 2 watak kanak-kanak ini sebagai 'watak utama' kerana mereka yang menjadi nadi dalam cerita ini.
Aku juga suka dengan cara kak Puteri ber'cerita' tentang kejadian yang berlaku pada Sharina di US dengan cara 'flashback'. Menjadikan cerita ini pada aku tidak terlalu meleret-leret.
Selain dari itu, aku suka dengan watak Reshidi yang penyabar, terutamanya di waktu dia harus menangani masalahnya dengan Marhanie mummy si Lan yang ada kalanya menggugat kesabarannya.
Sebuah kisah yang santai dan bersahaja. Namun terdapat kesilapan suntingan sana-sini membuatkan penumpuan aku kadang-kala tergugat. Walau bagaimanapun keseluruhan cerita, aku terhibur. Tahniah buat kak Puteri yang telah berjaya mengikat aku untuk menyelusuri perjalanan hidup Sharina hingga ke noktah akhir tanpa aku sedar.
Ini sekadar apa yang aku rasa. Mungkin anda tidak akan bersetuju dengan aku, tapi sekurang-kurangnya cubalah baca untuk menilai sejauh mana kebenaran kata-kata aku.

Pengarang : Nazurah Aishah
Halaman : 530
Tahun : 2008
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.00
telah kau tunai seribu janji
satu kau mungkiri… hidup bersamaku…
Aku dan Najah kenal di depan Stadium Old Trafford, berkahwin sembunyi-sembunyi di Tanah Ratu. Sekembali ke tanah air, aku dan Najah harus pula menjadi pelakon di depan mama yang sudah ada pilihan sendiri.
Itulah permulaan kisah ini... yang bagaikan sudah terang lagi bersuluh.
Apakah boleh aku memilih jalan ceritaku sendiri, Najah?
Jika tidak, bagaimana pula dengan perasaan?
Berkorban perasaanlah yang paling memedihkan, kerana perasaan itu tidak pernah ada bau dan warna: lalu sukarnya untuk orang lain memahami, apatah lagi merasai...
Tulis Najah:
apalah maknanya bulan kalau langit diselubungi mendung
apalah ertinya mentari kalau sinarnya dihalang gerhana
jadi bagaimana aku harus terus hidup
kalau mentari tak mahu berkongsi kehangatannya
dan bulan tidak mahu meminjamkan sinarnya…?
Najah, sudah jadi fitrah alam... matahari itu tetap terbit dari arah timur, dan bulan pula tetap setia menemani malam!
+++++
Nazurah Aishah, menulis Lili Buat Najah dari kaca mata hatinya. Sebuah kisah yang mengesankan pada yang sedia berkongsi rasa. *****Lili Buat Najah merupakan satu lagi karya terbitan Jemari Seni Publishing yang menjadi koleksi peribadi aku. Karya penulis baru yang berbakat, Nazurah Aishah ini adalah novel ke-11 terbitan Jemari Seni.
Kisah tentang Natasha Ameera yang jatuh cinta dengan Syahrun Najah, nekad untuk berkahwin walaupun pada masa yang sama mereka sama-sama masih menuntut di Manchester. Perkahwinan mereka terpaksa dirahsiakan dari pengetahuan orang tua Najah. Sementelah Puan Sri Tunku Helena Tunku Ariff Rahman Bendahara, bonda Najah telahpun punyai calon pilihan untuk dijodohkan dengan anak bongsunya Najah. Di sini bermula episod suka duka pahit manis mereka melayari bahtera rumahtangga. Pelbagai onak duri sanggup mereka redahi asalkan berdua.!!
Seorang teman pernah bertanya pada aku, apa istimewanya buku ini? Membaca blurb dibelakang kulit, ia umpama typical love story ~kahwin dengan orang yang tidak sekufu~ kemudian tidak diterima oleh mertua... but at the end baik semula...!! Pada awalnya aku memang tiada jawapan untuk persoalan itu, tapi setelah aku usai baca, aku selami dunia mereka -Tasha & Najah- kini aku ada jawapannya.
Aku suka Lili Buat Najah kerana walaupun persoalan yang 'biasa-biasa' saja yang diutarakan iaitu kisah perkahwinan yang tidak direstui tetapi apa yang istimewanya, penulis telah berjaya 'bercerita' sehingga tanpa sedar, aku dapat merasai setiap apa yang 'berlaku' pada mereka, kesusahan mereka, kesedihan mereka bahkan kegembiraan yang mereka kecapi walaupun tanpa restu bonda Najah.
Aku jadi jatuh cinta pada Najah yang sungguh sabar walaupun dalam hatinya sarat dengan rindu pada orang tuanya. Aku jatuh kasih pada Tasha yang sanggup bersabar demi seorang Najah. Demi cinta, mereka sanggup hadapi walau seribu halangan dan dugaan yang mendatang demi rumahtangga mereka.
Nazurah bercerita terus ke hati aku. Terasa begitu dekat dijiwa aku. Tatkala Tasha diambang kesedihan yang amat, aku umpama berkongsi kesedihan yang sama. Dan Tatkala Tasha terpaksa menghadiahkan 'Lili Buat Najah', aku sanggup menangis kerananya. Begitulah kuatnya Nazurah telah mempengaruhi jiwa & rasa aku.
Tahniah buat Nazurah, kerana telah berjaya membuatkan aku mengalirkan airmata tanpa sedar. Pada aku sekiranya sesebuah novel berjaya membuatkan aku 'tenggelam' dalam dunia mereka, telah berjaya membuatkan aku menangis di bab yang sedih, aku tergelak di babak yang lawak, sesungguhnya penulis itu telah berjaya.!!
Pada aku, aku akan lebih mengingati novel yang berjaya mencuit hati aku, membuatkan aku menangis, telah membuatkan aku tersenyum senang... tapi buku ini lebih membuatkan aku menangis dari ketawa.!! berbanding dengan buku yang tiada 'rasa' apa-apa pada jiwa aku.
Ini sekadar apa yang aku rasa. Kalau anda ingin tahu, anda kenalah baca sendiri... cuma satu nasihat aku, sediakan tisu disebelah anda kerana anda akan memerlukannya nanti. Maafkan aku andai aku tersilap meneka, tapi aku yakin dengan apa yang aku rasa.
So selamat membaca.!!

Pengarang : Syud
Halaman : 544
Tahun : 2008
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.00
Blurb:
Dhiya Nurlisa & Azril Mustaufi
Mereka 'terpaksa' kenal waktu menyiapkan kerja kursus berkumpulan.
Azril tak pernah faham kenapa Dhiya membencinya habis-habisan. Padahal alasan kenapa Azril dimusuhi sudah jelas, kan?
Menurut Dhiya, Azril tu:
Tipikal groupmate: tak datang untuk diskusi, ambil bena tak bena hal assignment, almaklumlah EOP sekadar kertas elektif untuk bakal arkitek itu!
Sedangkan Azril juga ada alasan sendiri, untuk semua sikapnya selama ini. Cuma Dhiya yang menyinga tak bertempat.
Lepas graduate, masing-masing bawa diri. Fuh, leganya...!
Namun takdir telah menemukan lagi mereka, kali ini dalam suasana yang tak sama. Seperti biasa Azril masih lagi 'masalah' kepada Dhiya. Lalu apa langkah seterusnya, Dhiya?
Tidak semua perkara layak diberi peluang kedua, Dhiya. Usah tegar memberi peluang jika tahu apa sudahnya. Berpalinglah... jika itu yang terbaik!
SYUD ada gaya yang tersendiri apabila bercerita Tentang… Dhiya. Watak-watak ciptaannya terasa hidup dan dekat dengan kita.
* * * * * *
Tentang... Dhiya merupakan karya terbaru dari Jemari Seni Publishing (Edisi Khas sempena Pesta Buku 2008) dan merupakan hasil karya penulis baru yang berbakat, Syud.
Tentang... Dhiya, kisah tentang Dhiya Nurlisa, si yatim piatu yang menumpang kasih pada keluarga Ayah Ngah ~abang arwah ayahnya. Hidup sebagai anak tunggal sesungguhnya menjadikan Lisa anak manja. Namun segala-galanya berubah sekelip mata pabila kedua orang tuanya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang meragut nyawa mereka dan Lisa sendiri terlantar di katil hospital hampir dua bulan lamanya.
Trauma masa lalu ~kehilangan orang tersayang~ menjadikan Lisa seorang yang sukar ditelah. Lisa yang melatih dirinya cara untuk melindungi diri... "biar dia tak kena marah... biar dia tak rasa bersalah dan dipersalahkan... biar dia tak rasa sakit... biar dia tak rasa sedih". Si Lisa yang gemar memendam perasaan, Lisa yang cuba membetulkan keadaan tanpa sesiapa pun sedar tentangnya dan itulah Lisa yang 'so unpredictable'.!
'Perkenalan'nya dengan Azril Mustaufi di kala hatinya 'sakit' dek perbuatan Ahmad Faiz - lelaki yang selama ini dia percaya akan bersama dengannya. Namun sebaliknya, pada lelaki itu, Lisa hanyalah satu masalah, satu beban padanya. Sudahnya Azril dijadikan 'punching bag' tempat untuk melepaskan beban yang bersarang dihati.
Apatah lagi perkenalan pertama antara mereka dalam situasi yang dianggap "at the wrong time, at the wrong place" menjadikan hubungan mereka umpama Israel - Palestin. Tambahan pula first Impression Lisa, Azril adalah seorang lelaki yang menyakitkan hati, seorang lelaki yang menjengkelkan, seorang lelaki yang menyusahkan bahkan semuanya yang negatif sahaja pada pandangan mata Lisa. Sedangkan Azril ada sebab-musababnya yang tersendiri.
Segalanya usai, tatkala berakhirnya semester terakhir mereka di UTM. Berakhir tanpa noktah, berakhir dengan tragedi. Lisa menyambung master di swiss dan Azril mendapat kerja di JB.
3 tahun berlalu... Lisa kembali. Kembali sebagai Dhiya Nurlisa yang baru. Tapi bagaimana mereka ~Lisa & Azril~ bertemu..?? Siapa Ezwan yang sanggup menunggu 3 tahun demi seorang Lisa??
Bagi mereka yang tidak tahu, Tentang... Dhiya adalah "Cerita Seorang Dhiya" versi enovel. Tapi bagi mereka yang sering mengikuti enovel syud - CSD, inilah "hadiahnya".
Jika ditanya apa yang aku suka tentang TD ini mudah saja jawapan aku. Aku suka pada plotnya yang simple. Aku suka dengan cara syud menggarap cerita, melakar setiap watak menjadikan 'mereka' seakan 'hidup' dan wujud di alam nyata. Bahkan terasa sayang nak 'tinggalkan' mereka diakhir cerita.
Aku suka dengan gelagat Lisa yang kadang-kala blurr (adakah macam penulisnya?? hehehe), namun tetap jua terselit perasaan halus seorang wanita. Aku jatuh cinta dengan Azril yang sungguh... nakal? gila-gila? but yet can be so romantic? hehehe. Tapi apa yang pasti pada aku Azril seorang yang amat bertanggungjawab & bertimbangrasa.
Pada aku cerita ini, soo touching... walaupun cerita dia adalah cerita biasa, tapi the way syud buat... 'cara lisa'... 'cara azril'... even 'cara Ezwan' akan buat kita jatuh cinta+sayang pada mereka... ops kecuali Ezwan rasa menyampah!!
Tentang... Dhiya bagi aku, punyai keistimewaannya yang tersendiri. Bacalah dan nilaikanlah sendiri. Mungkin aku salah!! kerana selera masing-masing tidak sama. Tapi bagi aku TD mampu buatkan aku senyum meleret.. terasa mereka benar-benar dekat dihati aku.
| Next Page |