

calendar
| << May 2009 >> | ||||||
| Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
| 01 | 02 | |||||
| 03 | 04 | 05 | 06 | 07 | 08 | 09 |
| 10 | 11 | 12 | 13 | 14 | 15 | 16 |
| 17 | 18 | 19 | 20 | 21 | 22 | 23 |
| 24 | 25 | 26 | 27 | 28 | 29 | 30 |
| 31 | ||||||
categories

contact
cReditS

Pengarang : John Norafizan
Halaman : 478
Tahun : March 2009
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Blurb:
JOHN NORAFIZAN kembali membawa anda mengembara bersamanya meneroka keindahan bumi Jepun dan Turki.
Kata ibu, zaman dulu hanya perawan-perawan sahaja yang dibenarkan memetik bunga-bunga saf. Sekiranya jari mereka terluka, darah merah sang perawan akan menyerap masuk ke kelopak bunga kuning itu. Kononnya, darah inilah yang membuatkan kelopak-kelopak bunga saf bertukar merah apabila dijemur dan dikeringkan nanti!
Kini ibu tiada lagi untuk bercerita. Ibu dan adiknya yang cacat mati lemas di Sungai Sorachi. Sedih dan sesal membalutinya sepanjang waktu. Mujurlah pertemuan dengan seorang darwis yang bijaksana mengubah seluruh hidupnya. Pertemuan yang memulakan sebuah pengembaraan mencari ayah yang bersedih, sekali gus dirinya sendiri. Dapatkah dia menemui apa yang dicarinya itu?
Katanya....
Jika tidak kerana Qistina, aku tidak tahu apakah maksud kehidupan ini.
Jika tidak kerana Qistina, mungkin aku masih dalam sangsi.
Qistina yang misteri. Qistina yang penuh dengan seribu teka-teki.
Teka teki apakah itu hingga menyebabkan dia sanggup menempuh seribu misteri dan melintasi Selat Bosporus? Dan siapa pula Qistina di hatinya?
Sebuah roman pengembaraan dalam bentur keras hakikat kehidupan disulami iri dan dendam: antara 'sang pencari' dan 'yang mencari'.
*****
Odisi Bulan Biru (OBB) merupakan novel ke-5 hasil cetusan idea penulis berbakat John Norafizan dan yang kedua terbitan Jemari Seni selepas Garis-Garis Dejavu.
Odisi Bulan Biru adalah kisah tentang pengembaraan mencari nama Tuhan ke-100 (itu kata si penulisnya). Tapi pada aku OBB lebih kepada pengembaraan mencari jati diri. Akira, sang pencari yang mencari dirinya yang 'hilang'. Hilang bersama hilangnya ibu dan adiknya dari muka bumi ini. Pergi meninggalkan Akira dalam seribu penyesalan yang tiada berkesudahan.
Di hari dia kehilangan ibu dan adiknya Umazaki, takdir hidupnya tidak lagi mulus. Semulus ketika Umazaki masih lagi Umazaki, bukan Oroka (patung dungu) yang dibencinya. Ketika Umazaki masih lagi menjadi separuh nyawanya, seperti kembarnya. Ketika mereka (Akira dan Umazaki) bersama-sama mendengar cerita ayah dan ibu. Di masa-masa bahagia mereka.
Tapi jalan hidupnya sudah berubah sepenuhnya. Sudah berantakan. Seumpama sumpahan Umazaki yang mengekori dirinya. "Kau akan merana sampai bila-bila Akira", luahan kata yang pernah dituturkan oleh Umazaki pada dirinya.
Hinggakan di satu peringkat Akira cuba ber'lagak' Tuhan. Mencabut nyawanya sendiri. Tapi Tuhan itukan maha Kuasa, tiada sesiapa yang boleh mengambil tempatNya. Nyawa Akira masih panjang walaupun dia cuba terjun dari puncak gunung yang tinggi. Malah sifat Tuhan yang maha pengasih, mempertemukan pula Akira dengan Yamata – si darwis aneh lagi misteri yang berjaya menyedarkan Akira tentang hakikat kehidupan.
Membuka hijab dan memberi peluang untuknya memperbetulkan segala kesilapan yang dilakukan sebelum ini. Membuka jalan untuk merungkai segala misteri yang membelengu dirinya. Bermulalah 'perjalanan' Akira dalam mencari diri. Menempuh onak yang berliku, yang menuntut kesabaran dan keazaman. Dalam perjalanan mencari diri, dia dipertemukan dengan Ayumi – Doktor Psikiatri. Kejadian demi kejadian, peristiwa demi peristiwa membawa Akira mengembara dan berkelana hingga ke negara timur tengah – Turki.
Demi mengungkap seribu satu misteri – terutamanya misteri bawah tanah di Turki – bagaikan hikayat 1001 malam. Asyik dan mengujakan. Bahkan penuh dengan tanda tanya dan persoalan demi persoalan yang harus dirungkaikan.
Pendek kata novel terbaru John ini adalah persoalan yang sarat dengan tanda tanya. Jika anda ingin tahu, anda haruslah membacanya. Ayumi, Kafka, Nakamura, Emre, Yagmur, Tayyab bahkan Qistina – nama yang sering disebut-sebut di awal cerita – akan anda temui. Jangan terkejut pabila anda berkenalan dengan satu watak, akan membawa anda mengenali watak yang lain.
Itulah John Norafizan, penulis yang pandai bermain dengan plot dan emosi pembaca.
* * * *
Apa yang dapat aku katakan usai membaca Odisi Bulan Biru ini adalah, ia suatu kelainan yang amat ketara daripada John berbanding dengan hasil karyanya yang sebelum ini.
Kali ini John tampil dengan gaya baru, dengan sentuhan nafas baru dari segi plot cerita dan teknik penceritaan itu sendiri.
Penceritaan yang tidak mengikut kronologi pada aku merupakan percubaan berani mati (kamikaze – sesuai dengan latar ceritanya di Jepun!) daripada penulis. Namun ia ada baik & buruknya. Keberanian penulis bermain dengan plot yang sebegitu akan mengundang sama ada :-
1- Pembaca akan hilang tumpuan dan cerita akan jadi bercelaru
2- Ataupun pembaca akan jadi tertanya-tanya (dan dengan sabar harus membaca dan terus membaca) untuk mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya!
Kerana sebelum tiba ke garisan penamat, pembaca akan disajikan dengan 'pemandangan' dan insiden-insiden sampingan yang berlaku di sepanjang jalan menuju garisan penamat itu!
Jadi satu nasihat aku pada pembaca, jangan sesekali langkau atau 'main tipu' kerana ia akan menyesatkan anda!. Sebagaimana yang berlaku pada aku di awal-awal cerita. Tapi apabila kita sudah mengikut rentak dan iramanya, kita akan terus berlari tanpa mahu berhenti walau sesaat!.
Satu lagi kelainan yang ditampilkan oleh John kali ini adalah, tiada lagi MANCHESTER!! hehehe… Tetapi John tetap membawa kita mengembara menjelajah dunia, di mana kali ini kita dibawa meneroka keindahan bumi matahari terbit iaitu Jepun serta negara yang terkenal dengan 2 benua iaitu Turki. Meneroka dan menikmati keindahan dan keunikan khazanah alam selain menahan rasa debar dihati mengikuti 'pengembaraan' Akira.
Satu lagi kelebihan John yang aku kagumi adalah pada setiap untaian kata penuh metafora lagi simbolik. Penuh emosi dan berseni. Bahasa yang menjadi penambat aku. Gaya bahasa yang puitis lagi kreatis mencantikkan lagi naskhah ini.
Aku jadi geram pada John yang membuatkan aku jadi tak senang duduk selagi tidak mengetahui akan kesudahannya… sudahnya aku terpaksa bersengkang mata, berjaga hingga ke dinihari semata-mata untuk mengetahui kesudahan cerita ini.
Bagi sesiapa yang sudah sebati dengan 'cara' John, aku rasa anda juga harus membaca naskhah ini dan rasailah kelainan yang cuba John berikan pada anda. Harap kamu bersetuju dengan aku.
Buat John, syabas & tahniah! kakwan sentiasa sukakan buah tangan John (atau kakwan sudah bias??... hehehe lantak la apa orang nak kata!) Apa yang penting, perasaan kakwan puas usai menamatkan noktah terakhir OBB ini.

Pengarang : Hlovate
Halaman : 538
Tahun : Februari 2009
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM 21.00
Blurb:
lontarkan
...kalau tidak ia meracun
kongsikan
...walau hanya pada awan-awan
Mereka berbicara di atas bumbung
Episod hidup memang berbeza, tapi cerita mereka masih selari!
Allah takkan bebankan hamba-Nya dengan apa yang dia tak mampu!
Hidup tak selalunya lawa
Tak selalunya ada pelangi
Kalau nak kata a bed of roses pun, duri-durinya tetap ada
Kadang-kadang... bilamana 'malapetaka' tu datang, terasa macam kena gelek ke bumi dek ahli sumo
Rasa macam dah tak mampu bangkit
Rasa macam dah tak mampu hela nafas
Dengarkan HLOVATE berbicara:
tentang hikayat Rooftop Rant dari puncak Wisma Topaz ini...
tentang Trisy dan Jade...
tentang bukit yang sayup di depan
tentang angin yang membawa salam di belakang
tentang lang sewah yang berlegar melayah di atas
tentang deretan kenderaan yang bersesak-sesak di bawah
dan mereka terus bercerita...
sesudah berani meruntuhkan tembok hati dan dinding rasa
mampukah dibeli tangga-tangga untuk mencapai cita-cita?
ini cerita sebuah bicara
bicara bumbung namanya....
******
Hlovate tampil dengan karya terbaru beliau berjudul Rooftop Rant. Novel ke-22 terbitan Jemari Seni ini sama sekali tidak menghampakan aku sebagaimana novel-novel beliau terdahulu.
PUAS. Itulah perasaan pertama yang aku rasa usai membaca karya Hlovate yang kelima ini (selepas 5 Tahun 5 Bulan, Schubert's Serenade – Kompilasi 3 cerita dalam Gurindam Jiwa, aA + bB dan Tunas).
Kisah tentang Trisy – Khairul Batrisya Mazni yang terbeban dengan masalah 'kebisingan' di rumahnya. Kisah tentang Jade yang 'bosan' dengan bebelan si ibu. Lalu tanpa temujanji mereka menjadikan puncak Wisma Topaz sebagai lokasi mencari damai di hati.
Tanpa tutur kata, sekadar bicara mata, mereka meterai MoU dalam bahasa diam. "Kau duduk hujung sana senyap-senyap… aku buat kerja aku hujung sini diam-diam. Kau buat hal kau… aku buat hal aku. Aku tak kacau kau… kau jangan kacau aku. Kau faham… aku faham". Hinggalah berlaku insiden yang membuka ruang bicara antara mereka. Membuka hijab yang membawa mereka ke Rooftop Wisma Topaz itu.
"There're times when strangers are like family and family are like strangers" begitulah mereka. Trisy yang sudah bosan tidak diendahkan oleh keluarga dan Jade yang merasakan dirinya terkongkong oleh leteran ibunya. Trisy yang tak pernah ada orang yang mahu mendengar dia bercakap dan Jade yang sangat sabar menjadi pendengar. Menjadikan mereka sahabat yang akrab, yang saling faham apa yang dirasakan tanpa perlu banyak kata, yang saling menjadi penguat semangat antara mereka untuk mencari arah tuju hidup.
Rooftop Rant memperkenalkan aku pada Trisy dan aku jatuh kasih padanya. Aku sukakan Trisy walaupun dia pernah jadi 'jahat' kerana aku faham kenapa dia jadi begitu!. Tapi dia berjaya berubah dan mengubah dirinya kepada Trisy yang seratus kali lebih baik!!.
Aku jatuh cinta pada Jade, walaupun aku tahu dia lelaki yang miskin perbendaharaan kata. Tapi dia ada telinga yang boleh diharapkan untuk jadi pendengar yang baik. Tapi yang paling utama dia pandai melukis kartun, melakarkan isi hatinya yang tak terluah dengan kata.
Aku sedih pada nasib Trisy yang jadi anak 'terbuang'. Aku kesian pada Jade yang sering menjadi mangsa perbandingan ibunya, hidup dalam bayang Along dan adik.
Salahkah Trisy kalau dia hanya inginkan perhatian? kerana dia sudah puas jadi anak yang tidak diendahkan. Salah Jade kah ditakdirkan dia punya abang dan adik yang lebih bijak sedangkan dia hanya biasa-biasa saja?
Aku teringin nak gantikan tempat Jazz, jadi abang pada Trisy. Gantikan Rina dan Tati jadi kakak pada Trisy. Aku teringin nak jadi adik pada Jade yang sungguh prihatin dengan caranya yang tersendiri. Aku jatuh cinta pada Pak Su Wan – pegawai penguat kuasa disiplin, tatasusila dan akhlak – yang tegas tapi baik hati dan suka pakai baju Raihan??!!. hehehe
Aku teringin nak jadi kawan baik Trisy agar dia tidak perlu tanggung segala keperitan hidupnya sendirian. Agar dia ada kawan yang boleh dijadikan tempat meluahkan bicara.
Kalau boleh aku nak jadi jari yang boleh tolong sapu air mata Trisy di kala dia tak berdaya. Aku nak jadi bahu yang boleh jadi tempat Trisy bersandar. Aku nak jadi telinga yang boleh mendengar keluh kesah Trisy. Aku rela jadi mata yang boleh mengawasi Trisy daripada segala perbuatan yang tak terjangkakan. Kerana sesungguhnya Trisy penuh dengan kejutan.
Tapi semua itu mustahilkan?? Kerana semuanya itu hanyalah sebuah CERITA!. Lakaran idea kreatif penulis yang menjadikan kisah Trisy dan Jade ini 'hidup' dalam layar minda aku.
Begitulah penangan Hlovate pada aku kali ini!. Aku jadi larut dalam perasaan tatkala membaca Hlovate bercerita tentang bicara bumbung antara Trisy dan Jade. Berhikayat melalui mata penanya. Sungguh. Aku seakan jadi sebahagian daripada Trisy berkongsi rawan. Aku seakan jadi sebahagian daripada Jade berkongsi keserabutan. Bersama-sama mereka menangis hiba, bergelak ketawa, mengeluh kesah bahkan bermuhasabah diri. Berkongsi segala emosi bersama-sama Trisy dah Jade. Aku bersatu menjadi mereka, melawan 'jerangkung-jerangkung' yang jadi penghalang untuk mereka bangkit menjadi manusia yang baru, berubah menjadi insan yang lebih baik! Yang berkali-kali lebih baik daripada masa silam mereka.
Buat Hlovate… Tahniah!! kerana Rooftop Rant bukan sekadar novel tetapi ia sarat dengan ilmu yang sangat berguna. Rooftop Rant yang padat dengan informasi, yang sarat dengan pengajaran hidup yang membuatkan aku berfikir bukan sekali tetapi berkali-kali.

Pengarang : Maya Iris
Halaman : 485
Tahun : 2008
Terbitan : PTS Millennia Sdn Bhd
Harga : RM24.50
Blurb:
Rayyan, gadis yang sanggup berkorban apa sahaja demi teguhnya cinta pada Kekasihnya. Dia sanggup memutuskan tali pertunangan dengan Zaim supaya mendapat keredaan Kekasih yang satu.
Hanisa, gadis keliru yang terpaksa meninggalkan dunia yang dikasihinya kerana kebahagiaan yang dikecapi berakhir dengan kesengsaraan. Dunia yang pada mulanya indah adalah palsu belaka.
Zaim, lelaki yang tidak pernah terfikir jatuh cinta dengan gadis yang bertudung yang mengamalkan cara hidup islam dengan sepenuhnya. Namun, dia sanggup melakukan apa sahaja demi membahagiakan hati seorang kekasih.
Mark, lelaki yang sedang tercari-cari kekasih sejati. Kekasih yang dapat memberikannya kebahagiaan yang hakiki.
Sebuah kisah empat watak yang berbeza latar belakang, yang masih tercari-cari cinta sejati di sebalik bayangan semalam. Dalam pencarian mereka, seruan kekasih yang manakah bakal menggegarkan jiwa? Seruan kekasih yang manakah menjadi janji yang akhirnya tertunai.
******
Kuseru Namamu Kekasih adalah novel kedua hasil idea kreatif Maya Iris selepas Curahan Cinta Niagara dan merupakan novel pertama yang aku baca. Kisah yang berlatarbelakangkan bumi kanggaro ini menyingkap kemelut yang dihadapi oleh sebilangan kecil pelajar Malaysia di Universiti Sydney. Menghadapi kuliah, di samping menunaikan tuntutan agama – berpuasa di bulan Ramadhan – tanpa meninggalkan suruhan-Nya serta amalan-amalan sunat yang di tuntut oleh Islam.
Rayyan – Hanisa – Zaim, adalah antara ribuan pelajar yang mendapat peluang meneruskan pengajian mereka di luar negara. Walaupun ada di antara mereka menjadikan peluang ini sebagai satu 'pelarian'. Melarikan diri daripada masalah yang membelit jiwa di tanah air.
Rayyan – pemilik nama unik yang namanya sering menjadi perhatian orang. Sebagaimana namanya yang mempunyai baik erti, begitulah juga pekertinya. Dia seorang anak gadis yang menjalani hidup berlandaskan ajaran islam sebagai pedoman. Seorang anak gadis yang mementingkan islam lebih dari segalanya. Bahkan dia sanggup kehilangan insan bergelar tunang demi cinta kepada-Nya.
Hanisa – dia gadis yang terlalu ingin diiktiraf sebagai lelaki. Dia tidak suka diperingatkan bahawasanya dia perempuan sedangkan dia ingin menjadi lelaki. Dia ingin diseru sebagai 'John' padahal namanya Jun Hanisa. Krisis identiti yang dialaminya menjadikan dia tidak disenangi oleh Balkis dan Maisarah teman serumahnya, dia diperolok-olokkan oleh Steve, Brian dan Mark – lelaki Inggeris yang tidak sukakan penampilannya. Tapi ada sebab kenapa dia jadi begitu, malangnya tak siapa yang ambil peduli. Hanya Rayyan yang cuba memandunya ke jalan lurus. Apakah punca yang membuatkan Hanisa berubah laku dan berjayakah dia kembali ke pangkal jalan?
Zaim – dia jatuh cinta pada wanita yang tidak pernah terlintas dibenaknya. Seorang wanita bertudung yang menjadikan islam sebagai cara hidup. Tetapi bukan mudah untuk memikat hati seorang Rayyan. Ada syarat yang perlu dipatuhi sebelum diri diterima sebagai pasangan hidup. Apakah syarat yang dikenakan oleh Rayyan? Mampukah Zaim melaksanakan syarat tersebut dan akan tertunaikah hasratnya untuk memperisterikan gadis sebaik Rayyan itu?
Mark – seorang pelajar jurusan psikologi dari Universiti Sydney yang mendambakan kasih sejati dan masih tercari-cari akan makna kebahagiaan yang hakiki. Melalui Hanisa dia mengenal rasa cinta. Tapi sayang, perbezaan agama menyebabkan dia kehilangan cinta Hanisa apabila si gadis hilang tanpa berita. Hilang bersama kekeliruan yang perlukan jawapan. Berjayakah Mark mendapatkan cintanya, menemui kebahagiaan yang hakiki??
Aku tidak tahu bagaimana harus memulakan resensi tentang novel ini. Tapi terasa sayang pula kalau aku abaikan novel terbitan PTS Millennia ini. Ada sesuatu yang istimewa dalam novel ini yang seharusnya menjadi pertimbangan kawan-kawan untuk membaca dan seterusnya mengutip inti pati yang cuba diketengahkan oleh penulis.
Novel yang diangkat sebagai novel islami ini seharusnya tidak dipandang enteng oleh sebilangan kecil pembaca yang hanya inginkan novel berbau 'cinta duniawi' semata. Seharusnya kita tidak meminggirkan novel islami hanya kerana tiada unsur-unsur 'romantika-de-amour' yang sering menjadi pilihan utama kita. Tak salah jika sesekali kita luangkan sedikit masa senggang kita untuk menatap karya yang menjadikan Islam sebagai ad-din ini.
Apa yang membuatkan aku suka tentang novel Kuseru Namamu Kekasih ini adalah cara penulis memperincikan betapa indahnya islam sebagai ad-din. Aku harus memberi kredit pada penulis/editor akan kekreatifan mereka menyelitkan petikan terjemahan ayat dan hadis Al-Quran di setiap bab selari dengan plot cerita, secara tidak langsung memperingatkan aku akan isi kandungan Quran tanpa perlu membuka kitab terjemahan. Sekurang-kurangnya kita (terutamanya aku) mendapat manfaat walaupun hanya sekadar membaca novel!.
Aku teruja membaca perbandingan antara kisah dongeng Inggeris dengan kisah-kisah para Nabi yang terdapat dalam Al-Quran yang diselitkan ketika Hanisa sedang berperang dengan suara hatinya di bilik kuliah. Selain bab ketika Rayyan harus memperdebatkan isu agama, perbezaan antara agama Islam dan Kristian, menegakkan kesucian Islam di mata Mark.
Aku terpegun dengan rahmat-Nya tatkala Margaret Thompson yang mendapat hidayah-Nya dipenghujung usia. Pendedahan pada persoalan berkaitan kitab suci Al-Quran dan beberapa petikan daripada bible sedikit sebanyak memberi info berguna pada aku yang tidak pernah ambil tahu akan isi kandungan yang terdapat dalam bible itu.
Itu hanya sebahagian kecil apa yang aku nampak pada pandangan mata kasar aku, sebenarnya banyak lagi kelebihan yang terdapat dalam naskhah kecil ini. Hanya anda sebagai pembaca saja dapat mentafsirkannya.
Ops! jangan terkeliru… Kuseru Namamu Kekasih tidak tertumpu pada persoalan 'agama' semata. Ada juga diselitkan insiden yang mampu membuatkan jantung kita berdegup kencang menahan debar dengan situasi aksinya. Terutamanya ketika Rayyan hampir menjadi mangsa salib Paderi Swain – bapa Mark – yang rupanya syaitan bertopengkan manusia!. Juga situasi sedih tatkala Rayyan harus berkorban menyerahkan tunang demi menyelamatkan sahabatnya. Pendek kata Kuseru Namamu Kekasih ini seharusnya dapat membuka minda kita untuk menghayati akan makna sebuah pengorbanan untuk mencari keredaan-Nya.
Bacalah… moga anda mendapat sedikit manfaat daripada pembacaan anda tatkala mengisi masa luang yang amat berharga itu. Buat penulis, tahniah! Moga tinta pena anda akan terus aktif melakarkan ilmu melalui karya kreatif untuk dikongsi bersama para pembaca sekalian. Teruskan berkarya!
Nota kaki :
1- Terima kasih pada sahabatku – Neen yang menitipkan bahan bacaan yang amat berguna ini!!

Pengarang : Norhayati Berahim
Halaman : 728
Tahun : Disember 2008
Terbitan : NB Kara
Harga : RM24.90
Blurb:
Rahsia itu dipendamnya sehingga menyakitkan dirinya sendiri.
Zahirnya dia lelaki yang sempurna, ada gaya ada harta. Sedangkan tiada sesiapa yang tahu, dia sebenarnya sedang menderita. Derita jiwa yang menghantui bertahun lalu lama. Kerana angkara si emak, lelaki yang bernama Raja Akid itu tidak pernah percaya pada cinta. Bahkan dendam yang berladung di hati tidak pernah dapat diusir dari diri. Dan sampai suatu saat, gadis yang bernama Chinta itu hadir. Raja Akid terperangkap antara kasihnya terhadap Chinta dan bencinya pada wanita. Beranikah dia menghuraikan segala rahsia yang disimpan? Dapatkah dimiliki kasih Chinta? Sebenarnya… hanya Raja Akid sahaja yang boleh menjawabnya…
******
Chinta adalah karya terbaharu hasil garapan penulis prolifik – Norhayati Berahim. Berkisah tentang pergolakan yang berlaku di seputar kehidupan seorang gadis bernama Chinta. Berselang dengan kisah Raja Akid yang tidak pernah percaya pada cinta seorang wanita.
Chinta – dalam hatinya sarat dengan perasaan kasih pada kaum keluarga. Perasaan sayang yang terlalu menebal di jiwanya. Walau disepak terajang oleh si ayah, dia tetap pasrah. Itulah seorang Chinta. Anak gadis yang sering dianaktirikan oleh si ayah tanpa dia tahu apa kesalahannya. Kisah pahit manis yang terpaksa diharunginya di kala dia meniti usia dewasa.
Namun walau seburuk mana layanan si ayah dia tetap réda. Tapi dia tidak keseorangan. Dia masih punya ibu, adik-adik, makcik dan sahabat karib yang sering membela dan mengasihi dirinya tanpa sebarang syarat.
Raja Akid – pada lahirnya dia lelaki metrosexual yang amat sempurna pada pandangan mata orang. Tetapi tak siapa tahu derita jiwa yang membelenggu dirinya. Ekoran trauma masa lalu, dia memandang sinis pada setiap wanita yang mendampinginya.
Menyaksikan satu insiden yang tidak sewajarnya dilihat, membuatkan Raja Akid mengalami 'gangguan jiwa' yang telah merubah secara total perspektif Raja Akid terhadap kaum wanita. Detik kelam yang dilalui sendirian tanpa perhatian si ayah yang sibuk dengan urusan kilang makanan dan si ibu yang sibuk dengan urusan 'rumah-tanpa-tangga'nya menyebabkan Raja Akid membesar dengan membawa tanggapan negatif terhadap kaum hawa.
Tapi sampai bila mereka harus melalui masa kelam ini?. Membawa persoalan yang tiada jawapannya.!! Mampukah kuasa cinta merungkaikan segala persoalan yang membelit jiwa mereka??
Apa yang dapat aku katakan, Chinta adalah 'comeback' daripada Norhayati Berahim (NB). Membaca Chinta aku dapat merasakan 'kehadiran' NB. Kehadiran yang bisa menyuntik semangat juang aku sebagai wanita. Kehadiran yang bisa membuai naluri kewanitaanku dengan kisah cinta 'juita-arjuna'nya. Kehadiran yang memaparkan secebis lagi kisah tentang pergolakan yang tidak mustahil berlaku dalam masyarakat kita. Pendek kata, kehadiran yang senantiasa aku nanti-nantikan kemunculannya.
Tatkala menguliti hasil garapan NB, sering kalinya aku berangan… alangkah bagusnya andai aku dianugerahkan dengan sifat penyabar, sifat penyayang yang tinggi dijiwa sebagaimana sifat sabar dan semangat juang seorang wanita dalam setiap novel karya NB. Sebagaimana aku impikan semangat Inas dalam Sentuhan Kasih (CESB), semangat Atiqah dalam Pesanan Terakhir Seorang Lelaki (CESB), semangat Hardina dalam Seindah Derita (CESB), semangat Nurain dalam Hati Seorang Wanita (Alaf), semangat Farah Diba dalam Air Mata Kasih (Alaf), semangat Dr. Amna dalam Terima Kasih Kekasih (NB), takpun semangat Wardina dalam Kembalikan Cintaku (NB) – sekadar menyebut beberapa novel terdahulu karya NB.
Pada aku, NB sinonim dengan 'wanita & pengorbanan'. Dua eleman yang sering aku jumpa lewat karya beliau. Tidak terkecuali dalam Chinta, wanita & pengorbanan juga yang menjadi inti sari atau tidak salah jika aku dilabelkan sebagai 'trademark' beliau.
Chinta membawa aku menyelami erti kegigihan, erti kesungguhan, erti kesabaran dan yang paling penting mengajar aku akan erti sebuah tanggungjawab. Tanggungjawab seorang anak terhadap kedua orang tuanya. Tanggungjawab seorang adik pada abangnya – walaupun dia sering kali menjadi mangsa si abang. Tanggungjawab seorang kakak terhadap adik-adiknya, tanggungjawab seorang sahabat terhadap sahabatnya pendek kata tanggungjawab sesama insan.
Chinta juga membuatkan aku jatuh belas pada nasib Chinta yang sering kali menjadi mangsa ketidakadilan si ayah. Menjadi tempat si ayah melepaskan geram yang terbuku di dada. Membuatkan aku jadi benci pada si ayah yang melebihkan anak lelaki (sulung) yang tidak pernah tahu tanggungjawab itu. Membuatkan aku jadi cukup terkilan dengan nasib yang menimpa Chinta. Tapi kesudahan si abang yang sebegitu membuatkan aku lagi tidak puas hati!! Dia sepatutnya mendapat pembalasan yang lebih teruk, lebih buruk, setimpal dengan nasib buruk yang pernah menimpa Chinta dek olahannya!!.
Persoalan cinta dan kasih sayang yang membelenggu seorang Chinta, membuatkan aku seakan terlarut sama untuk menangisi nasib tidak baik Chinta dalam kemelut cintanya dengan Saiful. Menghadapi karenah cinta Chinta bersama jejaka yang didampingi sedari dia dibangku kuliah lagi.
Namun seorang Chinta tetap menerima takdirnya dengan berlapang dada, kerana dia tahu dia tidak keseorangan. Dia ada Candy sahabat akrabnya yang menjadi tempat dia lepaskan beban di hati. Dia ada Raja Akid, seorang ketua dan seorang sahabat yang melayan dirinya seadanya. Dia ada ibu Molek, dia ada Mak Yong yang sentiasa menjadi penguat semangatnya, membuatkan dia mampu melepasi masa suramnya dengan hati yang tabah.
Namun di sebalik setiap kejadian yang berlaku, ada rahmat yang terselindung. Hakikat itu memang tidak dapat kita nafikan. Sama ada kita sedar ataupun tidak. Begitulah nasib Chinta. Ada sinar di hujung jalan buat Chinta. Ada rahmat-Nya yang terbentang buatnya menjalani hidup ini dengan tenang dan bahagia walaupun dia harus tempuhi ranjau dan duri sebelum berhasil mengecapinya.
Tapi jangan terkeliru, novel ini bukan hanya berkisar tentang kisah Chinta semata, ada pelbagai isu dan permasalahan yang berlaku pada insan yang berada di sekitar kehidupan Chinta. Kisah pergolakan rumahtangga Raja Haidar, kisah kecurangan 'Puteri' Sheema, kisah tidak bertanggungjawab Rodin, kisah ketidaksetiaan Saiful, bahkan juga kisah Mak Yong yang tetap setia pada kasih dan cinta arwah suami. Pendek kata, pelbagai 'rasa' ada dalam naskhah Chinta ini.
Sesungguhnya membaca setiap karya NB, sedikit sebanyak mampu menyuntik semangat aku. Dan satu yang aku sedar, sesungguhnya tak semua yang kita nampak indah itu baik untuk kita, dan tak semestinya yang terlihat jelik itu buruk untuk kita, yang pastinya kita harus pasrah dan réda dengan setiap ketentuan-Nya.
Buat NB, tahniah!! sebuah karya yang mampu membuatkan aku membacanya berulang kali.
Nota kaki :
1 ~ ketika resensi ini ditulis, aku telahpun berjaya mengulang baca untuk kali yang kedua.
2 ~ aku suka buku ini kerana tiada gangguan pada mata (tiada header di tepi) sebagaimana buku keluaran NB yang terdahulu yang telah sedikit sebanyak mengganggu penumpuan pembacaan aku.

Pengarang : Fatimah Busu
Halaman : 374
Tahun : 2008
Terbitan : Cetakan terbaharu Oleh – Pekan Ilmu Publication
Harga : RM18.90
Blurb:
Imrah bangkit berdiri dalam satu pertembungan antara tradisi lama dan tradisi baru. Sebelah kaki Imrah masih dalam lingkungan tradisi kampung yang bersih dari pengaruh-pengaruh luar dan penuh dengan amalan adat resam orang-orang tua, tetapi dengan menggunakan kekuatan yang luar biasa, Imrah cuba menjangkau kehidupan kekinian yang diamalkan di kota-kota yang telah diresapi oleh unsur-unsur luar dengan kakinya yang sebelah lagi. Jatuh bangun Imrah, kegagalan dan kejayaan Imrah untuk mencantumkan dua impian kehidupan yang bercanggah ini adalah ombak-ombak yang menghakis kehidupan remaja dan mematangkan dirinya. Lalu dengan rasa penuh sedar akan tanggungjawap satu kewujudan seorang perempuan, dia memulakan perjalanan baru yang bertolak dari satu soalan, 'Di manakah penyudahnya hidup seorang perempuan?'
******
Ombak Bukan Biru adalah sebuah karya hasil garapan penulis berkaliber Fatimah Busu. Secebis kisah masyarakat di era 70-an (perbetulkan aku andai aku silap). Kisah tentang seorang anak gadis yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh pada keluhuran ajaran Islam, yang menitikberatkan adat dan tradisi melayu.
Ayahnya, "… seorang kampung tutuk. Ayah fanatik dengan kitab-kitab dan soal akhirat. Ayah ulama yang tak terlantik di kampung. Dan semua orang hormatkan ayah kerana kealiman ayah. Ayah pantang dibahas tentang agama, ayah akan bertegang sampai jauh malam selagi lawannya tidak mengaku kalah. Dan ayah juga pantang ada orang mahu pinjam kitab-kitabnya. Tidak ada dalam simpanan, rela keluar wang untuk beli dan beri pinjam. Dan kerana itu ayah 'berilmu'. Ayah dihormati. Ayah disegani. Ayah dimuliai. Apatah lagi kerana ayah seorang 'Haji'…" – ms 27
Kisah tentang seorang pendidik biasa yang mengajar di Kota Bharu. Seorang yang bergiat aktif dalam bidang seni tari dan pandai menarikan tarian asyik, tarian lilin, tarian zapin serta beberapa jenis tarian lagi, juga seorang yang pandai bermain alat-alat muzik.
Seorang anak gadis yang tumbuh sebagaimana lumrah anak-anak remaja lain, yang punyai naluri untuk menyintai dan dicintai, mengecap nikmat manisnya bercinta, merasa pahitnya dikecewakan dan indahnya bercinta lagi.
Kisah tentang pergolakan emosi seorang Imrah. Cinta Imrah pada Yamin, cinta yang dikhianati. Ketika hatinya sedang lara, Cik Celine datang bersama hasrat ingin mendalami seni tari melayu. Membawa dia mengenali Lawrence, 'tall and handsome. Good looking, nice guy' yang membuatkan dirinya seumpama 'Alice in Wonderland'. Namun cintanya pada Lawrence adalah cinta 'terlarang'. Namun dia tegar…
Nasi lemak buah bidara
Batang selasih aku lurutkan
Tinggal emak, ayah saudara
Kerana kekasih aku turutkan
Itulah Imrah yang mengalami transformasi budaya. Antara tradisi lama yang harus dijunjung dan tradisi baru yang ingin diterokai. Natijahnya dia dibuang keluarga. Dia tersisih dari perhatian ayah, dia terpinggir dari kasih sayang ibu dan dia jauh dari pandangan saudara.
Bahkan berita tentang kematian ayahnya hanya diketahui lewat telegram kiriman kakaknya Rohani. Hanya selepas hampir seminggu jenazah ayahnya disemadikan. Pergi tanpa sempat Imrah sujud di kaki ayahnya memohon keampunan. Pergi bersama dosa-dosa Imrah yang tidak terampun.
Walau bagaimanapun rasa cinta semata tidak cukup untuk membuatkan hidupnya bahagia. Badai datang tanpa diundang. Tindakan nekad tanpa akal yang waras membuatkan hidupnya berantakan. Memaksanya dia meninggalkan Lawrence ketika dirinya sedang sarat mengandungkan buah cinta mereka hanya kerana perasaan cemburu. Dia kecewa kerana dikecewakan. Dia kembali menjejaki tanah desa tercinta bersama jenazah anaknya untuk disemadikan.
Namun Imrah tetap cekal menghadapi hari depan. Walau dugaan datang bertimpa, dia redha. Ini takdir untuk dirinya yang 'berdosa'. Dia bangkit sebagai Imrah yang baru, dengan semangat baru dan dengan kerja yang baru sebagai pramugari dengan harapan di antara para penumpang itu, tersembul wajah Lawrence, tatkala boeing 747 membawanya terbang di awan biru…
Apa yang dapat aku katakan usai membaca karya ini… ia sememangnya 'Novel yang Merentas Dekad'!!
Aku suka dengan watak Imrah. Ia adalah gambaran seorang anak gadis yang telus walaupun tidak semulus heroin-heroin lakaran penulis baru dewasa ini. Aku dapat bayangkan Imrah, seorang anak gadis yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan ilmu agama. Ilmu akhirat, membesar, bercinta, putus cinta dan bercinta lagi, tetapi dia tetap tahu di mana letak nilai dirinya.
Apa yang aku kagum dengan watak Imrah ini adalah, penulis berjaya memisahkan gambaran zahir si Imrah – seorang anak gadis yang bersopan santun – dengan pergolakan emosi seorang Imrah tatkala dirinya dalam sengsara menahan hati yang merana dek cinta yang terkandas di tengah jalan. Walaupun ada antara bait-bait ayat yang menggambarkan suara hati Imrah agak 'kasar' pada pembacaan aku, tapi seorang Imrah tetap menjaga keperibadian zahir sebagai gadis timur yang telah terdidik dengan sempurna oleh kedua orang tuanya. Ia tetap menjaga tingkah, hinggalah dia tewas pada pesona mata sang arjuna yang memukau dengan kelelakiannya. Memanah terus ke jantung hatinya membuatkan dia buta untuk menilai dan tegar 'menukarkan' seorang ayah dengan seorang lelaki lain.
Apa yang membuatkan aku jatuh cinta dengan novel ini adalah, Ombak Bukan Biru telah menggembalikan 'jiwa' aku yang telah lama tertinggal di kampung. Ya, Ombak Bukan Biru telah membawa aku kembali mengimbau nostalgia semalam yang aku tinggalkan.
Suasana meriah hari sabtu di bandar KB, menyusur jalan-jalan dan lorong-lorong yang pernah aku jejaki tapi sudah lama aku tidak kunjungi. Istilah-istilah dan dialek yang digunakan, membawa aku kembali ke desa yang tercinta. Istilah orang hilir, orang hulu, karai air, meratib, gatih, berkemban gantung, celapak, berbalik pais, karak, berjujut-jujut, sekah adalah antara dialek-dialek yang aku jumpa dalam novel ini. Mengembalikan ingatan aku pada loghat yang sudah jarang aku gunapakai. Sungguh nostalgia.
Pendek kata jika anda anak jati negeri Serendah Sekebun Bunga yang telah lama merantau dan hampir lupa akan bahasanya yang unik itu, anda harus membaca novel ini. Untuk mengembalikan ingatan anda pada tanah yang pernah berada di bawah tampuk pemerintahan Cik Siti Wan Kembang ini.
Namun begitu, keseluruhan penggunaan bahasa oleh pemegang Ijazah Sarjana Sastera (1978) dan Doktor Falsafah (1994) dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Bahasa 'orang lama' yang sarat dengan bunga-bunga bahasa yang indah dan puitis, yang sememangnya tidak lekang dek hujan tak lapuk dek panas. Indah dan menawan dalam darjahnya yang tersendiri. Mengingatkan aku betapa indahnya bahasa melayu, bahasa yang pernah diangkat sebagai bahasa perantara (lingua-franca) yang ditutur berabad-abad yang lalu di seantero Nusantara.
Aku cukup puas usai membaca naskhah ini. Sebuah 'masterpiece' yang cukup telus daripada Dr. Fatimah Busu. Jika anda ingin kembali ke era 70-an, bacalah Ombak Bukan Biru ini, tapi jangan terkejut andai 'cerita'nya masih relevan dengan kehidupan kita dekad ini.
Selamat Membaca!!
Note: Sekalung penghargaan buat Khar – Pekan Ilmu Publication. ![]()
| Next Page |