

calendar
| << June 2009 >> | ||||||
| Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
| 01 | 02 | 03 | 04 | 05 | 06 | |
| 07 | 08 | 09 | 10 | 11 | 12 | 13 |
| 14 | 15 | 16 | 17 | 18 | 19 | 20 |
| 21 | 22 | 23 | 24 | 25 | 26 | 27 |
| 28 | 29 | 30 | ||||
categories

contact
cReditS

Pengarang : Nora Ismail
Halaman : 670
Tahun : 2009
Terbitan : NB Kara
Harga : RM23.90
Blurb:
Dugaan itu terlalu sukar untuk ditempuhinya
Diperkosa sahabat baiknya sendiri, Hazry, Rina seperti hilang arah. Ke mana diri hendak dibawa? Perlukah harga diri dijaja? Dalam resah dan gundah, syukur ada tangan yang datang menghulur. Azfarel lelaki budiman yang memang meminati Rina dari jauh menghulurkan pertolongan. Hati Rina berbelah bagi, apakah perlu diterima hati yang cuba berbudi? Sedangkan Hazry hilang entah ke mana. Bahagiakah hidupnya nanti dengan Azfarel? Dapatkah dia melupakan segala bayangan hitam. Namun akhirnya Rina sedar… dalam hidup, bagaimana kita mencaturnya… Tuhan lebih tahu …
******
Rasaku:
Sebenarnya karya ini sudah agak lama aku usai membacanya. Seusainya pesta buku antarabangsa yang berlangsung di PWTC kurang-lebih dua bulan yang lalu. Tetapi memandangkan masa sering dijadikan alasan, tinggallah ia terperuk di kotak mindaku. Aku benar-benar kewalahan dan kesuntukan waktu untuk menzahirkannya.
Baiklah, berbalik pada resensi untuk karya Nora Ismail ini. Sebenarnya ini bukanlah karya pertama Nora Ismail yang juga menggunakan nama pena Rose Harissa yang aku baca. Tuhan Lebih Tahu merupakan percaturan kedua beliau di bawah jenama terbitan NB Kara selepas Serasi Di Hati.
Naskhah ini berkisah tentang Rina Azia si gadis malang yang kehilangan kegadisannya dek perbuatan lelaki yang dia anggap sahabat karib. Si sahabat yang hilang kewarasan diri disebabkan oleh pengaruh Ectasy yang diambil ekoran rasa sedih atas kehilangan ayah tersayang. Ketika diri dalam keadaan yang 'tidak sedar diri', dia telah mencabul kehormatan sahabat baiknya sendiri.
Rasa kekesalan yang timbul akibat perbuatannya, dia 'melarikan' diri ke luar negara menyambung pengajian yang masih lagi berbaki. Dengan harapan dapat melupakan kejadian 'tidak sengaja' yang dilakukannya, juga demi menata kembali hidupnya yang duka lara akibat kehilangan ayah tercinta. Si gadis, dibiarkan terkapai-kapai sendirian mencari haluan demi masa depan yang tidak lagi menjanjikan sinar.
Namun nasib masih lagi menyebelahi diri Rina Azia, apabila sang arjuna sudi menerima dirinya demi satu jalinan rasa yang dinamakan cinta. Wan Azfarel sudi menghulurkan tangan, memimpin dirinya yang dalam kekalutan menghadapi masa depan yang tidak menentu. Rina juga beruntung kerana kedua ibu bapa mertua menerima dirinya seadanya.
Tapi tidak pada kedua orang tua kandung yang membuang dirinya. Tidak mengaku diri sebagai anak. Lantaran rasa kecewa dan terhina dengan 'salah laku' si anak. Hakikatnya mereka tidak tahu duduk perkara sebenar! Dan Rina dijatuhkan hukuman tanpa diberi kesempatan membela diri.
Kedamaian hidupnya bersama Wan Azfarel serta anaknya Ikhzal mula berantakan setelah lebih enam tahun hidup rukun damai. Pertemuan semula dengan Hazry telah mengucar-ngacirkan hatinya. Membuatkan dirinya tidak keruan. Rahsia keberadaan Ikhzal cuba disembunyikan daripada pengetahuan Hazry. Tambah malang lagi apabila Elisha, bekas kekasih Hazry mula mencucuk 'jarum'. Meracuni fikiran Nafisa, adik tirinya yang telahpun menjadi tunangan Hazry tentang sejarah silam mereka – Hazry & Rina.
Tidak berakhir di situ, kesabaran Rina juga diuji apabila penyakit tumor Azfarel menyerang kembali. Dalam keadaan kesihatan diri yang tidak menentu, dengan mainan perasaan yang bimbang akan kehilangan kasih Rina dan Ikhzal, membuatkan Azfarel mula meragui kejujuran Rina. Apatah lagi syarikat di mana Rina mencari rezeki berkerjasama dengan syarikat milik keluarga Hazry dan ditakdirkan Rina adalah calon terbaik untuk menguruskan projek tersebut, tambah mengusutkan lagi keadaan.
Apakah yang berlaku dalam hidup Rina Azia seterusnya? Adakah kasihnya akan beralih arah terhadap Azfarel dengan kemunculan semula Hazry Izhar? Wan Azfarel, sanggupkah dia berkorban hati dan perasaan demi seorang wanita yang amat dia cintai atas nama pengorbanan? Segala persoalan ini hanyalah… Tuhan Lebih Tahu… tapi jawapannya tetap anda akan ketahui apabila anda menatap buah tangan terbaru Nora Ismail ini.
Apa yang aku nak kongsikan dengan pembaca yang lain adalah cara Nora @ Rose membangunkan plot cerita Tuhan Lebih Tahu ini. Penceritaan yang berjalan mengikut kronologi ini amat mudah diikuti. Kisah bermula ketika mereka menuntut ilmu hinggalah melangkah ke alam pekerjaan dan berumahtangga.
Membaca naskhah ini, hati aku sering diburu perasaan geram. Geram pada Hazry yang tinggalkan Rina begitu sahaja. Tidak terpikirkah dia bagaimana nasib Rina di masa depan? Bagaimanakah Rina harus hidup dengan status diri yang sudah tercemar? Nama sahaja sahabat baik tetapi tak mahu berkorban untuk sahabat baiknya sendiri! Eee geramnya...
Aku juga geram dengan setiap olah Elisha dari awal cerita hinggalah ke penamatnya. Elisha sebagai watak antagonis benar-benar membuatkan aku jadi benci padanya! Hatta natijah yang menimpa diri Elisha juga tidak mampu membuatkan aku jatuh belas padanya! wah brutalnya wan!
Aku juga jadi geram pada Azfarel yang sanggup membuat 'MoU' dengan Hazry. Pada aku Azfarel khilaf dalam menginterpretasikan perasaan sayangnya pada Rina. Dia seharusnya mempertahankan 'hak milik'nya tanpa perasaan ragu-ragu! Dan sepatutnya Hazry itu menjadi musuh ketat dia. Hahaha rasanya aku sudah tidak dapat berfikir secara waras lagi!
Maafkan aku andai aku kedengaran terlalu emosional. Tapi itulah hakikatnya. Membaca karya Nora @ Rose kali ini, perasaan aku libang-libu dengan rasa geram dan menyampah. Aku benar-benar larut dalam pembacaan ini.
Walau bagaimanapun banyak persoalan yang berlegar dibenakku, tentang kewajaran setiap tindakan yang diambil oleh Rina, Azfarel mahupun Hazry sebagai teraju utama yang membangunkan naskhah ini.
Pertama sekali tentang kewajaran Rina ke tempat Hazry di malam buta tanpa ditemani sesiapa yang akhirnya telah membawa musibah kepada dirinya. Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan" – riwayat Imam Ahmad. Kenapa Rina tidak terfikir untuk mengajak teman untuk menemaninya?
Juga kewajaran Azfarel ingin 'menyerahkan kembali' isterinya kepada orang yang bertanggungjawab meragut kesucian wanita kesayangannya. Kemudian aku terfikir, hey! inikan sekadar cerita fiksyen! kenapa harus aku mempersoalkan setiap kewajaran yang diambil oleh mereka?? Hahaha
Namun aku harus memberi kredit kepada penulisnya kerana telah berjaya membangunkan keinginan yang kuat dalam diri aku untuk menatap karya ini demi mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya, dan seterusnya dan seterusnya. Memaksa aku menatap naskhah ini hingga ke penamatnya. Walaupun secara jujurnya, aku terpaksa menghentikan pembacaan beberapa kali demi menata kembali emosi yang bergulir dihati.
PS: Cik Rose, wan memang emo membaca novel ini! huhuhu

(naskhah edisi Bahasa Indonesia)
Pengarang : Habiburrahman El Shirazy
Halaman : 116
Tahun : Mei 2008 (Cetakan XXI)
Terbitan : MQS Publishing
Harga :
Blurb:
"...Anakku, sudah saatnya kau mencari teman sejati yang setia dalam suka dan duka. Teman baik, yang membantumu untuk menjadi orang baik. Teman sejati yang bisa kau ajak bercinta untuk surga."
Said tersentak mendengar perkataan ayahnya.
"Apa maksud Ayah dengan teman yang bisa diajak bercinta untuk surga?" tanyanya dengan nada penasaran.
"Dia adalah teman sejati yang benar-benar mau berteman denganmu bukan karena derajatmu, tetapi karena kemurniaan cinta itu sendiri, yang tercipta dari keikhlasan hati. Dia mencintaimu karena Allah. Dengan dasar itu, kau pun bisa mencintainya dengan penuh keikhlasan; karena Allah. Kekuatan cinta kalian akan melahirkan kekuatan dahsyat yang membawa manfaat dan kebaikan. Kekuatan cinta itu juga akan bersinar dan membawa kalian masuk surga."
******
Rasaku:
Sebagaimana karya-karya Pak Habiburrahman yang lain, sememangnya karya beliau yang ini juga punya keistimewaannya yang tersendiri. Karya terbitan MQS Publishing ini adalah naskhah yang pernah diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbitan di Yogjakarta sekitar tahun 2003 menggunakan judul Bercinta Untuk Surga.
Naskhah setebal 116 halaman ini memuatkan 29 bab mewakili 29 kisah-kisah pilihan yang diambil dari pelbagai sumber seperti dari Hadis Nabi, kisah-kisah di zaman para sahabat Nabi, zaman tabi'in serta kisah-kisah teladan dari pelbagai pelusuk dunia islam.
Memetik kata daripada Prakata Penulis, ' Sesungguhnya, Allah s.w.t telah menaburi ayat-ayat Al-Quran dengan aneka kisah dan cerita-cerita berhikmah. Hal itu tak lain, dan tak bukan, ialah agar kita mengambil ibrah atau pelajaran dari cerita-cerita itu. Tentu untuk kemuliaan pekerti dan kebaikan kita, kerana, memang demikianlah semestinya. Bukankah agama (Islam) adalah akhlak mulia? Bukankah pula untuk kemuliaan akhlak itulah Baginda Rasul di utus ke dunia fana ini? ' bertitik tolak atas dasar itulah maka lahirnya naskhah ini.
Walaupun naskhah ini 'nipis', tapi isi yang dihidangkan pada kita amat padat. Ada kisah tentang budi pekerti, ada kisah tentang sedekah, ada kisah tentang janji, ada kisah tentang sahabat, selain kisah-kisah teladan. Pendek kata 'buku nipis' ini merangkumi pelbagai kisah-kisah teladan yang boleh kita jadikan iktibar dan panduan buat kita muhasabah diri. Kisah-kisah yang diutarakan juga boleh kita jadikan sebagai pemangkin dalam kita membangun keperibadian diri ke arah yang lebih baik. Insyallah.
Salah satu kisah yang dimuatkan dalam bab pertama naskhah ini….
Masuk Surga dan Masuk Neraka karena Seekor Lalat.
Kisah tentang dua pengembara yang memasuki daerah yang didiami oleh kaum penyembah berhala. Barang siapa yang melalui kawasan tersebut harus melakukan korban atau persembahan buat berhala tersebut supaya dapat keluar daripada kawasan tersebut dengan selamat.
Al-kisah lelaki pertama yang sangat takutkan kematian telah menangkap seekor lalat sebagai korban sembahan kepada berhala tersebut memandangkan dia tidak memiliki apa-apapun, dan dia dilepaskan.
Sebaliknya lelaki kedua yang tetap teguh berpegang pada akidahnya dan tidak mahu melakukan korban untuk berhala tersebut walaupun nyawanya yang jadi galang ganti. Dia tetap taat pada ajaran agamanya; berkorban hanya boleh dilakukan jika sesuai dengan syariat. Sedangkan memberi korban kepada berhala walaupun hanya dengan seekor lalat, tetap berlawanan dengan syariat dan ia adalah perbuatan yang menyekutukan Allah dan merupakan dosa yang paling besar.
Akhirnya lelaki kedua mati dibunuh kerana mempertahankan akidahnya tetapi matinya adalah mati syahid. Malang bagi lelaki pertama yang dilepaskan. Baru beberapa langkah dari daerah tersebut, dia dipatuk ular berbisa dan meninggal. Namun kematiannya adalah kematian yang sia-sia. Dia akhirnya dihumban ke neraka kerana perbuatannya menyekutukan Allah hanya kerana dia membunuh lalat sebagai korban pada berhala.
Moralnya, adakalanya persoalan yang kita nampak remeh, sebenarnya mampu memberikan impak yang sangat besar dalam hidup kita seperti kisah seekor lalat ini.
Antara isi kandungan (bab) lain yang menjadi inti pati dalam naskhah ini adalah :
Bab 1 Masuk Surga dan Masuk Neraka karena Seekor Lalat
Bab 2 Pahala Takut kepada Allah
Bab 3 Kalimat Pengusir Maksiat
Bab 4 Gadis Cerdas, Gadis Impian
Bab 5 Karena Dendam pada Serigala
Bab 6 Tiga Lelaki berjiwa Malaikat
Bab 7 Jujur itu Surga
Bab 8 Ketika Cinta Berbuah Surga
Bab 9 Kayu Ajaib
Bab 10 Tongkat Sang Pengkhianat
Bab 11 Malaikat dan Tiga Lelaki Cacat
Bab 12 Sang Dermawan
Bab 13 Ulama Penakluk Singa
Bab 14 Lelaki Sejati
Bab 15 Di mana Allah?
Bab 16 Pemuda Penakluk Syahwat
Bab 17 Raja, Pengemis dan Hakim
Bab 18 Malu Kepada Allah
Bab 19 Si Kaslan dan Kakek Tua
Bab 20 Manusia Paling Pemurah
Bab 21 Membela Tamu
Bab 22 Suara dari Langit
Bab 23 Khalid dan Komandan Romawi yang Syahid
Bab 24 Rahasia Tiga Pertanyaan
Bab 25 Karena Mimpi Melihat Neraka
Bab 26 Keutamaan Sedekah
Bab 27 Nuaim dan Anak Unta
Bab 28 Khalifah dan Gubenur Miskin
Bab 29 Orang Terakhir Masuk Surga
Sesungguhnya bukanlah jumlah halaman yang menjadi ukuran, tapi apa yang penting adalah pengisian yang kita dapat sama ada ia bermanfaat buat kita ataupun tidak. Dan seharusnya apa yang paling mustahak, jadikan setiap cerita itu sebagai panduan serta pedoman. Yang baik kita jadikan teladan yang buruk kita jadikan sempadan agar hidup kita hari ini lebih baik berbanding semalam dan hari esok pastinya lebih baik daripada hari ini.
"…maka lihatlah sejarah nenek moyangmu untuk kebaikan masa depanmu"
Nota kaki: Resensi ini saya sediakan khas buat adinda kesayanganku, moga sedikit sebanyak memberi 'gambaran' untuknya *wink*

Pengarang : Khairyn Othman
Halaman : 425
Tahun : Jun 2009
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM18.00
Blurb:
dame zoete Sarah ialah si manis Sarah
Sarah Adam, anak yatim lagi sebatang kara; wartawan yang dedikasi; sahabat yang budiman... walaupun Sarah Adam ada seribu peran, yang pasti dia cumalah seorang gadis yang ada hati dan perasaan.
Terperangkap di tengah-tengah kemelut sindiket dadah antarabangsa, Sarah Adam dituduh terlibat sebagai pengedar, juga didakwa menjadi pembunuh sehingga membuat gadis yang manis pabila tersenyum ini, menjadi pelarian serta terpaksa menyamar untuk melintas laut ke negeri kincir angin.
Keadaannya bertambah sulit apabila dia bukan sahaja diburu oleh pasukan keselamatan negara, kumpulan penjahat malah dia diburu oleh jiwanya sendiri! Keadaan menjadi semakin rumit, apabila setiap orang yang dia kenal dan dia jumpa, mati dibunuh. Kenapa?
Jomlah bantu Sarah Adam untuk membersihkan namanya, jomlah bantu Sarah Adam meloloskan diri daripada 'Encik Selamat', Interpol yang kerek!
"Sarah, ke mana pun kau pergi, aku akan cari kau. Ke mana pun kau lari, aku akan kejar. Jangan lupa tu." ~ Salim
* * * *
Genre yang berbeza daripada KHAIRYN OTHMAN kali ini, pasti membuat anda terhibur sekali gus berdebar bagaikan menaiki roda Ferris, melantun di awang-awangan – pucat tanpa boleh berkata-kata.
*****
Dame Zoete Sarah (DZS) adalah novel kedua Khairyn Othman bersama Jemari Seni Publishing. Kali ini penulis membawa kita mengenali gadis bernama Sarah Adam dan jejaka bernama Salim. Mereka dari dua dunia yang berbeza. Seorang wartawan dan seorang lagi anggota polis. Tetapi 'tugas' mereka berkait.
Sarah Adam, wartawan yang terperangkap dalam sindiket pengeluaran dan pengedaran dadah. Tanpa dia sedar dia telah menjadi buruan pihak yang percaya dia mempunyai formula tentang dadah terbaru yang lebih 'power'. Dan dia juga jadi buruan pihak berkuasa yang percaya dia adalah salah seorang konco pengedaran dadah berbahaya itu.
Demi membersihkan namanya, dia terpaksa menjadi pelarian. Lari dari buruan polis dan lari dari buruan penjahat. Dia tiada siapa yang dapat disandarkan harapan, kerana seorang demi seorang 'orang hubungan'nya mati terbunuh atau dengan kata lain mati dibunuh. Dia hanya ada dirinya dan dia harus bergantung hanya pada dirinya sendiri.
Dia menyamar diri demi menjayakan misi menyelamatkan diri dan meminta bantuan pada salah satu 'sumber' yang pernah dia tolong. Dia terpaksa mempertaruhkan nyawanya, meletakkan nyawanya bagaikan di hujung tanduk. Tapi dia pasrah jika dengan cara itu dia bisa menyelamatkan dirinya. Dan penyamaran ini telah membawa Sarah Adam merentasi benua, membawanya ke negara kincir angin, demi meleraikan segala kekusutan yang merantai diri. Demi membongkar sindiket dadah.
Selain harus bersembunyi daripada 'geng dadah' yang memburunya, Sarah Adam juga harus meloloskan diri daripada dikesan dan ditangkap oleh Salim, pegawai berpangkat timbalan pesuruhjaya di bahagian narkotik yang ditukarkan ke Interpol dan Kamal, rakan baik Salim yang masih lagi kekal di bahagian narkotik. Mereka adalah antara pegawai polis yang bertanggungjawab menyiasat kes tersebut.
Bagaimana nasib Sarah? Berjayakah dia membongkar segala misteri demi menyelamat dan membersihkan namanya? Dapatkah dia lari daripada En. Salim yang kerek itu? Tapi yang paling utama, siapakah dalang yang menjebakkan dirinya dalam kemelut yang mengancam nyawa itu? Dan bagaimana dia boleh terlibat sama? Wah banyaknya persoalan… nak tahu? Jomlah kita bongkar segala misteri bagi pihak Sarah Adam!
* * * *
Rasaku:
Komen pertama aku. PUAS! ya aku puas membaca DZS. Inilah kenikmatan yang aku cari apabila aku membaca sesebuah novel. Aku mau rasa puas, sepuas-puasnya! Ada rasa lega, ada rasa relief dan pastinya ada rasa gembira bersulam bahagia!
Penulis menampilkan sebuah kisah yang membuatkan aku tidak senang duduk. Tidak tenang hati selagi tidak menghabiskan bacaan aku. Dan aku amat berterima kasih kerana dengan jumlah 425 halaman membolehkan aku menghabiskan DZS hanya dengan sekali hadap!.
Sesungguhnya selain jalan cerita yang menarik, siapa penulisnya, aku juga mengambil kira akan ketebalan sesebuah novel untuk dijadikan pertimbangan untuk aku membacanya. Aku tidak menolak membaca novel yang mempunyai ketebalan yang 'agak tebal' tetapi ia bergantung pada masa luang yang aku ada. Jadi selalunya aku akan memilih novel yang agak nipis dahulu untuk membacanya kerana ia cepat habis.
Ok. berbalik pada cerita tentang DZS. Apa yang membuatkan aku suka (sangat) dengan karya Khairyn kali ini adalah kelainan yang dibawa. Genre yang berbeza daripada yang sebelumnya. Ops bukanlah karya sebelum ini tidak bagus… tidak! tapi kali ini penulis tampil lebih santai. Tapi jangan tertipu, kisah Sarah Adam tidak santai ya!. Kisah si Sarah Adam ini penuh dengan adegan-adegan yang mampu membuatkan anda sesak nafas!
Penulis bagaikan membawa kita 'menaiki roda Ferris' bak kata blurb belakang kulit. Ya, begitu juga perasaan yang aku alami sepanjang aku menghabiskan bacaan ini, penuh debar, penuh saspens, tapi tak kurang ada lawaknya. Pendek kata pelbagai rasa mengasak di dada. Tapi dalam debar menahan gelora di hati, dalam situasi yang saspens aku masih mampu menyungging senyuman lebar.
Kali ini penulis juga ber'kongsi' pengalamannya sebagai bekas wartawan melalui Sarah Adam. Bagaimana Sarah berkongsi tip dengan pembaca tentang cara untuk mendapatkan 'skop berita' dan bagaimana dia menggunakan 'sumber'nya untuk mendapatkan maklumat, bagaimana dia berjuang untuk terus hidup dan membersihkan namanya.
Aku sukakan Sarah Adam yang sangat berdikari, degil, keras kepala dan sangat cekal. Sarah Adam tumbuh sebagai anak gadis yang tahu menjaga diri. Mungkin keadaan yang membuatkan dia sebegitu. Kehilangan seluruh ahli keluarga dalam sekelip mata telah menjadikan Sarah Adam bangkit sebagai wanita yang tidak gentar pada dugaan. Kerana dia telah berjaya mengharungi dugaan yang maha hebat dalam hidupnya. Kehilangan orang tersayang! Tambahan pula dia kan wartawan yang sering berdepan dengan cabaran! Tapi sebenarnya segala sifat dan sikapnya itulah yang membolehkan dia terus hidup bernyawa demi menegakkan keadilan untuk dirinya. Dia juga tidak mudah panik pada tekanan sekeliling.
Salim – pertama kali aku rasakan bahawasanya betapa tidak 'menarik'nya hero kali ini. Apatah lagi bila penulis mengaitkannya dengan beberapa nama 'Salim'. Saleem iklim, Tan Sri S M Salim dan Harun Salim Bachik membuatkan aku… erk!... oh tidak!! hahaha. Tapi pada mata Yati (kawan baik Sarah), Salim berwajah Arab, kiranya dalam kategori hensem la. Tetapi ia tetap tidak dapat mendatangkan gambaran yang 'indah-indah' akan raut wajah Salim di layar minda aku. huhuhu sorry!!
Walau bagaimanapun aku tetap sukakan En. Salim! Sebenarnya karektor 'Salim' garapan penulis bertepatan dengan kriterianya sebagai seorang pegawai polis. Seorang yang sangat serius dan tegas dalam menjalankan tugasnya. Tapi di balik raut muka yang serius dan berwajah 'keras' ada kelembutannya. Di sebalik tegas ada romantiknya. Dan aku jatuh hati pada Salim ketika mereka di Belanda. Gerek sehh!! hahaha
Pendek kata ia kombinasi cerita saspens, romantic-thriller yang diisi dengan 'lawak antarabangsa' yang sangat berjaya di tangan penulis. Sesungguhnya ia sebuah naskhah yang ringkas tapi padat. Dengan gaya bahasa yang tidak meleret-leret, dengan adegan-adegan yang 'seadanya', membuatkan aku tergari kaki dan tangan, tidak dapat berganjak selagi tidak menghabiskan bacaan aku.
Dan satu lagi kelebihan setiap novel di bawah label Jemari Seni Publishing adalah info yang dititipkan. Sisipan ilmu yang dihidangkan pada pembaca ada nilainya, terpulang pada pembaca untuk mengambilnya sebagai iktibar dan panduan. Sesungguhnya dalam kita syok melayan 'cerita' kita tidak terpinggir dari ilmu yang boleh kita jadikan teladan.
Oh ya, terima kasih juga buat Khairyn kerana mengirimkan khabar tentang Nisa dan Dr. Taufik. Sekurang-kurangnya terubat kerinduan buat si bunga tigris dan keluarganya itu! Rindunya kat Nisa…!!
Buat Khairyn… Tahniah! sesungguhnya DZS tidak menghampakan kak wan sama sekali. Dan anda telah membuatkan kak wan jadi tidak sabar menunggu hasil karya anda yang akan datang. Terukkan?? hehehe. Apa-apapun moga Khairyn terus dilimpahkan oleh-Nya idea untuk terus aktif berkarya, berkongsi cerita dan ilmu sudah pastinya!
PS: Khairyn… terima kasih untuk cik teddy yang sangat comel itu! Kak wan terpaksa sembunyikan daripada Aysha nanti dia nak! hehehe

Pengarang : Nazawati
Halaman : 435
Tahun : Mei 2009
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM19.00
Blurb:
perasaan ini bagaikan air di kali yang sentiasa mengalir tanpa henti
Telah aku kuburkan dalam-dalam persahabatan bersama kau. Telah aku
Benarkah hati perempuan itu, kerasnya bagaikan kerak nasi?
Percik air lembutlah ia...!
Benarkah hati perempuan itu dalamnya tak terduga?
Sentuh dasarnya, lunaklah ia...!
Benarkah begitu...?
Ya, perempuan lain mungkin, tetapi tidak aku untuk lelaki seperti kau!
Kau tidak pernah mengenali lagi aku Fir, kau tidak pernah lagi memahami aku Fir,
kau tidak pernah sekalipun menyelami hati seorang aku!
Bahtera ini, arah kita tak serupa
padamu... aku dendam yang tak terungkai,
padaku... kau sahabat yang melukakan
Mengapa tidak kita akhiri sahaja tali ini,
kalau kita tidak pernah endahkan ijab kabulnya, Fir?
* * * * *
Bacalah hati perempuan NAZAWATI dalam Teluki Itu untuk Aku. Bandingkan dia dengan hati anda sendiri!
*****
Teluki Itu Untuk Aku (TIUA) merupakan novel pertama karya Nazawati yang aku baca. Penulis membawa kita menyelami hati seorang wanita bernama Seri Kurnia Iskandar. Menilai perasaannya terhadap Firdaus Ikram dan keakraban persabahatannya dengan Tajul Ajmal.
Seri Kurnia, Firdaus Ikram dan Tajul Ajmal, mereka pernah bersahabat. Akrab sekali. Bersama-sama melakar mimpi untuk sama-sama mengapai pelangi. Tapi satu insiden mengaibkan menimpa Seri Kurnia yang melibatkan keluarga Firdaus menjadikan mereka - Seri & Firdaus - tidak lagi sehaluan. Rasa bersabahat antara mereka telah bertukar menjadi benci. Meletakkan nilai persahabatan antara mereka tinggal kosong. Sekosong hati Seri ketika harus melangkah pergi meninggalkan bumi Kuala Tembeling membawa bersama sejuta rasa kesal dan benci di hati.
Sepuluh tahun Seri Kurnia membawa diri. Menimba ilmu dan membina kerjaya dalam bidang seni bina di Tanah Ratu di samping merawat luka di hati. Mengubat rasa kekecewaan yang bertapak hati. Tapi sampai bila dia harus berkelana di bumi asing? Dengan pujukan dan rayuan gombal Ajmal yang tidak putus-putus memujuk Seri untuk kembali, sedikit sebanyak berjaya melembutkan hati Seri untuk pulang ke tanah air. Kembali menjejakkan kaki di bumi bertuah tanah tumpah darahnya.
Atas 'pelobian' Ajmal juga, Seri Kurnia mendapat kepercayaan Tan Sri Kamarul untuk memulakan kerjanya di Juta Bumi Holding sebagai arkitek. Seri impikan hidup yang tenang-tenang tanpa ingatan terhadap masa silamnya yang kelam. Tapi jalannya tidaklah semulus yang dia impikan. Tanpa pengetahuannya, dia sebenarnya bekerja sebumbung dengan Firdaus Ikram, musuh ketatnya. Tambah malang lagi dia harus bergandingan dengan Firdaus melaksanakan kerja yang diserahkan oleh Tan Sri Kamarul. Atas dasar profesional dia harus berdepan dengan Firdaus walaupun dia sedar, berdepan dengan Firdaus memberi peluang kepada lelaki itu untuk tambah melukakan hatinya lagi.
Sudah jatuh di timpa tangga begitulah nasib Seri. Sudahlah hubungannya dengan Firdaus bagai api dengan rabuk, sentiasa dalam keadaan tegang bila berdekatan, di tambah lagi dengan satu insiden yang berlaku ketika mereka di Kota Bharu menyebabkan hidup Seri bertambah sengsara. Peritnya kenyataan yang terbentang di depan mata. "Aku akan pastikan yang kau tak akan mendapat kebahagiaan Seri. Kau tak akan bahagia sampai bila-bila." – ms 56. Itulah sumpahan Firdaus pada Seri.
Mampukan Seri mengapai bahagia sedangkan kisah silam sering menghantui perhubungan mereka? Akan teruraikah segala kekusutan yang membelenggu mereka? Akan berbahagiakah Seri pabila keberadaannya sering diperlecehkan oleh Firdaus? Tapi apa yang paling penting, siapakah dalang di sebalik setiap kejadian yang berlaku diseputar kehidupan Seri Kurnia dan keluarganya? Jom kita bongkarkan.!!
* * * *
Rasaku:
Apa yang dapat aku katakan usai membaca Teluki Itu Untuk Aku (TIUA) ini adalah, aku suka! Perasaan lega menjalar disegenap ruang hati aku usai aku menghabiskan TIUA. Sebuah karya yang sangat 'manis' walaupun kisah hidup Seri Kurnia yang menjadi tonggak utama TIUA ini tidaklah semanis yang kita harapkan. Penuh warna kelam yang menyakitkan hati. Tapi Seri Kurnia tumbuh sebagai wanita yang berjaya dalam kerjaya. Walaupun harus berperang dengan gelodak jiwa yang merana dan sengsara. Seri Kurnia lambang wanita yang tabah walaupun harus bangkit dari kekecewaan.
Aku suka dengan gaya bahasa yang digarap penulis. Sangat berseni. Sangat indah dan mempesonakan aku. Penulis berjaya mengadun patah kata dan laras bahasa hingga membuatkan aku terlarut sama dalam setiap emosi Seri Kurnia dan Firdaus Ikram. Padat dan tepat menusuk kekalbuku.
Aku suka dengan plot cerita. Kisah yang bertunjangkan cinta ini ada kelainannya. Kisah Seri Kurnia yang penuh warna-warni walaupun kisahnya tidaklah seindah warna pelangi. Kisah Firdaus yang ada ketikanya sangatlah tidak gentlemannya… hehehe. Kisah cinta ini tidaklah semulus cinta yang diidamkan oleh setiap insan. Indah dan penuh warna-warna ceria. Tapi ia kisah cinta yang bersulamkan air mata dan derita jiwa. Cinta mereka hanya diwarnai dengan warna hitam yang kelam.
Penulis juga berjaya memanipulasi aku. Membiarkan aku rasa 'selesa' dengan Ajmal. Rupanya Ajmal juga punyai rahsianya yang tersendiri. Rahsia yang bila satu persatu mula tersingkap sungguh diluar jangkaan. Oh tidak… aku terpedaya dengan mainannya!!
Pendek kata TIUA merupakan sebuah karya yang penuh warna-warni. Walaupun di awal cerita penulis 'membawa' aku menangisi kisah sedih Seri Kurnia, menanam perasaan benci aku pada Firdaus Ikram dan menyokong setiap tindakan serta 'moral support' Ajmal pada sahabat-sahabatnya, tapi penulis juga membawa aku kepada pengakhiran yang sungguh mengejutkan. Tak terlintas dek akalku bahawasanya… oh begitu rupanya cerita mereka!
Buat Nazawati… Tahniah! anda telah berjaya membeli jiwa saya. Nampak gaya kena cari novel dia yang terdahulu.

Pengarang : Manaf Hamzah
Halaman : 786
Tahun : 2009
Terbitan : Pustaka Nasional
Harga : RM
Blurb:
Dilema seorang gadis…
Perkahwinannya dengan pemuda pilihan sendiri terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir oleh tunangnya. Bagaimanapun, dapat juga Amelia Harun meneruskan perkahwinannya itu. Tapi dengan pemuda lain. Seorang pemuda yang begitu merahsiakan latarbelakangnya yang sebenar…
Dilema seorang wanita…
Meskipun sudah menjadi isteri kepada Karim Iskandar yang misteri, namun Amelia ingin juga dimiliki oleh pemuda lain. Seorang pemuda yang gagah dan berwibawa. Tapi tidak sebangsa dan seagama. Bahkan bekas tunangnya mahu kembali kepadanya.
Lantaran membuat Amelia dilanda perasaan berbelah-bahagi ....
Dilema dalam rahsia…
Kehidupan Amelia menjadi tidak menentu, dek dia berhadapan dengan rahsia dan misteri orang-orang sekelilingnya yang dikenali dan disayangi. Tentang watak sebenar arwah ayahnya? Tentang apa yang terkandung dalam diari yang arwah telah tinggalkan. Justeru membuat keluarganya dalam bahaya. Tentang latar belakang suaminya yang beliau begitu rahsiakan?
Sesungguhnya, apabila semua jawapan terhurai, Cukup menggegarkan jiwa raga Amelia...
* * * * * *
Dalam Kehangatan Dakapan Senja (DKDS) adalah karya terbaru daripada Manaf Hamzah. Kisah tentang Amelia Harun seorang anak gadis yang lincah dan cantik, telah mengikat tali pertunangan dan bakal melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pujaan hatinya, Zamrilludin Ariffin.
Perkenalan yang tidak dirancang dalam situasi yang tegang dan tidak bersahabat antara Amelia dan ‘pria ganteng’ dalam pesawat dari
Kita hanya merancang tuhan menentukan segalanya. Begitu juga Amelia, mahligai bahagia yang ingin dibina roboh di tengah jalan. Penarikan Zamri daripada majlis perkahwinan mereka disaat-saat akhir ketika segala tempahan dan kartu walimah telahpun ditempah dan diedarkan pada kenalan dan sanak saudara tidak memungkinkan Amelia membatalkan majlis tersebut.
Lantaran usulan dan lamaran Karim Iskandar, lelaki misteri yang jatuh hati padanya, memberi setitis harapan buat Amelia. Kesudian Karim Iskandar menjadi pengantin lelaki bidan terjun menggantikan Zamri si tunang yang tidak bertanggungjawab itu Amelia terima dengan harapan yang berbunga di hati. Semoga suatu hari nanti dia mampu menyintai Karim Iskandar sebagai lelaki yang bergelar suami. Walaupun cintanya buat si suami masih belum berputik, dia akur pada tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
Kenneth Chng, pegawai polis yang mengetuai operasi ‘Si Mata Helang’ iaitu operasi membenteras satu sindiket dadah yang terbesar. Beliau berpangkat Timbalan Pengarah dan berkhidmat di Biro Narkotik Pusat (CNB), berkenalan dengan Amelia dalam keadaan yang tidak ‘sempurna’. Pertemuan antara mereka sentiasa dalam keadaan tegang dan sering kali berakhir dengan kata-kata sinis yang menyakitkan hati.
Ketika kehangatan bulan madu Amelia dan Karim Iskandar masih membara, Amelia sering di‘ganggu’ oleh Kenneth Chng jejaka kacukan cina-serani itu. Kehadiran Kenneth Chng membuatkan ketenteraman hati Amelia tergugat. Tapi sebenarnya ada sesuatu yang Amelia
Ada sesuatu tentang masa silam Harun Razak, arwah ayah Amelia yang tidak diketahui oleh ahli keluarganya. Di masa yang sama Lanang telah dibebaskan daripada penjara. Ada perhitungan yang harus dia langsaikan dengan Harun Razak (arwah). Sebenarnya ada sesuatu yang Harun sembunyikan hatta daripada keluarganya sendiri. Tapi sayangnya Harun telah meninggal, yang tinggal hanya Amelia dan Nadia – anak-anaknya serta Zahrah Yusuf iaitu bekas isterinya yang telahpun berkahwin dengan En. Saiful Ahmad.
Dasar penjahat, tidak dapat gading bertuah, tandukpun berguna juga. Oleh kerana dendam tidak dapat dibalas pada arwah Harun, Amelia anaknya yang menjadi galang ganti. Asalkan hati Lanang puas dan dendamnya pada Harun terbalas. Begitulah dendam Lanang terhadap arwah Harun, orang yang telah mengkhianati persahabatan mereka dan membuatkan dia terpaksa menghabiskan masa 5 tahun meringkuk dalam penjara.
Bagaimanakah nasib Amelia? Akan berputikkah cintanya pada suaminya Karim Iskandar? Dapatkah dihindari segala ‘gangguan’ Kenneth Chng atau dia harus akur pada kata hatinya? Penemuan diari misteri milik arwah Harun menyebabkan nyawa Amelia dalam bahaya? Apakah misteri disebalik diari dan potret wajah Amelia? Selamatkah dia daripada dendam Lanang dan sekutu-sekutunya? Kenneth Chng, berjayakah dia dalam operasi ‘Si Mata Helang’ yang diketuainya? Dapatkah diberkas semua penjahat-penjahat yang berleluasa? Atau dia yang menjadi korban kegilaan penjahat?
Segala jawapan ada dalam nashkah ini. Terpulang pada anda untuk mencari jawapannya.
***
Jangan tanya aku apa istimewanya novel ini kerana aku memang tak ada jawapan yang tepat. Yelah, seperti yang selalu aku tegaskan pada kawan-kawan semua, tak semestinya apa yang aku suka, kawan-kawan akan jatuh suka juga! Selera kitakan berbeza dan jika adapun, ianya satu credit pada aku.
Okey. Aku ada beberapa sebab yang boleh aku berikan pada kalian, kenapa aku sukakan setiap karya Manaf Hamzah. Antaranya, aku suka cara penulis melakarkan setiap plot cerita hasil garapannya. Penulis sering meletakkan aku dalam situasi yang diselubungi misteri. Tentang gerangan siapa dan apa kejadian yang akan berlaku seterusnya. Unsur saspens sering membuatkan hati aku tidak akan tenang selagi tidak mengetahui jawapannya. Sudahnya aku harus menyudahkan pembacaan aku walaupun aku mungkin akan mengorbankan waktu tidurku.
Selain daripada itu, penulis juga bijak menyusun ‘strategi’ agar setiap perjalanan cerita gagal ditebak oleh pembaca terutamanya aku. Sering kali aku tertipu kerana setiap andaian aku tersasar daripada apa yang dibentangkan oleh penulis. Penulis juga bijak memanipulasi aku tentang gambaran setiap watak. Membuatkan aku sering tertanya-tanya… whose who? hingga ke penghujungnya apabila segala rahsia mula tersingkap, aduh aku terpedaya rupanya!!
Dari segi
Walau bagaimanapun dalam jangka masa aku menghabiskan pembacaan, tertangkap juga oleh mataku yang bolé ini akan beberapa kesilapan sama ada dari segi kesilapan ejaan mahupun editing. Tapi ianya taklah mengganggu pembacaan aku (kerana penulis bijak menutupnya dengan jalan cerita yang saspens hingga aku hanya menutup mata pada setiap kesilapan yang aku temui). Lagi satu aku tidak arif tentang proses penyuntingan di Singapura. Jadi aku tidak pasti akan standard ejaannya.
Cumanya sebagaimana yang sebahagian dari kita sedia maklum, karya Manaf Hamzah adalah ‘novel dewasa’. Jadi ingin aku ingatkan… andai ada antara kalian yang berniat hendak bagi anak dara yang masih dalam kategori di bawah umur membacanya, aku sarankan agar anda fikir dua-tiga kali dulu sebelum beri kerana terdapat sedikit unsur-unsur 18SX.
Jadi, seperti mana dengan novel-novel beliau yang terdahulu, Dalam Kehangatan Dakapan Senja ini juga mampu membuatkan aku terpaku menatapnya. Adakala ia membuatkan aku menyungging senyuman dan ada ketikanya, aku jadi terpisat-pisat dengan insiden-insiden yang terdapat dalam nashkah ini. hehehe
Buat En. Manaf… tahniah DKDS memang menghiburkan saya!!. Harap Pesta Buku tahun depan, datanglah lagi dengan hasil karya yang terbaharu!! kami di sini akan sentiasa menanti-nantikan karya En. Manaf… dan kalau boleh harganya janganlah mahal sangat, takut kami dibuatnya!! hehehe
| Next Page |